Sunday 5 April 2020

Pengusaha Taska, Tadika Putrajaya Tersepit Ibu Bapa Enggan Bayar Yuran


PUTRAJAYA: Pengusaha tadika dan taska di sini berhadapan kesukaran kewangan apabila ibu bapa enggan membayar yuran penjagaan bagi Mac dan April berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini menyebabkan pengusaha terbabit menghadapi masalah untuk memenuhi Akta Pekerjaan 1955 berkaitan pembayaran statutori pekerja masing-masing seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selain gaji.

Presiden Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Putrajaya (PUSPAJAYA), Husna Abdul Rahaman berkata, pada 25 Mac lalu pihaknya mengeluarkan kenyataan memaklumkan kepada ibu bapa yuran bagi Mac dan April perlu dibayar seperti biasa.

Husna berkata, bagi ibu bapa yang menghadapi kekangan kerana pemotongan gaji dan bertugas sebagai barisan hadapan serta terpaksa menghantar anak sepanjang tempoh PKP boleh berunding dengan pengusaha bagi mendapatkan pembayaran yang sepatutnya.

"Sebagai majikan, pengusaha perlu mematuhi undang-undang dan Akta Kerja 1955 yang tidak membenarkan pemotongan gaji pekerja dan dibayar secara penuh,”

"Sebahagian besar ibu bapa yang menghantar anak ke tadika dan taska di sini adalah penjawat awam yang gaji mereka tidak dipotong ketika PKP tetapi pengusaha pula hanya bergantung kepada sumber yuran semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Di Putrajaya, ada sekitar 84 tadika termasuk prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan; 56 yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ; tujuh di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Setiap tadika mengenakan yuran berbeza-beza bermula dari RM250 hingga RM400 manakala swasta RM550 bergantung kepada perkhidmatan disediakan seperti penjagaan bayi, tadika separuh hari dan sepenuh masa.

Husna berkata, PUSPAJAYA memahami kesukaran rakyat sepanjang PKP, namun kerajaan juga telah memberi insentif dan bantuan bagi meringankan beban rakyat seperti Bantuan Prihatian Nasional, Pengeluaran I-Lestari KWSP dan 'one off' kepada penjawat awam.

Justeru, katanya, pembayaran yuran dalam tempoh PKP ini bukan suatu halangan kerana ia adalah arahan yang perlu dipatuhi dan bukan atas kemahuan penguasa tadika.

"Kami bertanggungjawab dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjaga keselamatan anak-anak bagi membendung penularan wabak COVID-19.”

"Walaupun pengusaha mendapat pengecualian sewa di premis kementerian dan jabatan, bagi mereka yang menyewa di rumah dan bangunan komersial perlu terus membayar sewa bulanan.”

"Sekiranya PKP fasa kedua ini dilanjutkan banyak tadika yang akan ‘gulung tikar’ kerana ada sebahagian pengusaha menyarankan pekerjanya untuk bercuti tanpa gaji dan menghantar notis berhenti kerja kerana tiada sumber kewangan.”

"PUSPAJAYA merayu kepada kerajaan agar dapat memberikan dana khas atau geran kepada pengusaha yang berdaftar di samping subsidi yuran kepada ibu bapa bagi membantu meringankan bebanan sepanjang PKP.”

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/34e5wpn
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2UJhQej
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment