Tuesday, 28 April 2020

Tetapkan Had Jumlah Etnik Rohingya Di Malaysia Berdasarkan Kemampuan Negara - Prof UUM


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menetapkan had jumlah pelarian Rohingya yang dibenarkan berada di negara ini, berdasarkan kemampuan Malaysia menguruskan etnik itu.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata ia bagi memastikan jumlah etnik itu tidak melebihi kemampuan negara untuk menguruskan mereka.

Jelasnya, kerajaan bukan saja perlu menanggung beban kewangan untuk menguruskan pelarian, tetapi juga aspek lain seperti politik, sosial dan jenayah, yang turut memberi kesan kepada rakyat tempatan.

"Kita tak boleh terima terlalu ramai pelarian, apatah lagi jumlah etnik Rohingya di Malaysia juga sudah ramai dengan anggaran sekitar 200,000 ketika ini, apatah lagi negara sedang berdepan krisis ekonomi akibat COVID-19 ketika ini.

"Jika kerajaan menganggap angka sedia ada sebagai sudah ramai dan membebankan, maka wajar untuk angka 200,000 itu diletakkan sebagai had.

"Apabila had sudah ditetapkan, kerajaan tidak lagi boleh terima pelarian itu apabila jumlahnya sudah mencapai angka maksimum dan wajar menghalang mereka masuk ke negara ini," katanya kepada BH, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sentimen anti-Rohingya yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini, hingga mencetuskan polemik dan pelbagai kecaman berbaur kebencian terhadap kaum itu di media sosial.

Mohd Azizuddin menegaskan, kritikan secara melampau yang dilakukan netizen terhadap etnik itu ketika ini, adalah tidak wajar dan menggesa semua pihak memahami konteks pelarian Rohingya sebagai etnik terbuang dan tidak diterima negara asalnya.

"Kita boleh kritik, tapi jangan sampai menghina dan membuat pelbagai dakwaan serta menyebarkan maklumat berkenaan Rohingya, yang kebanyakannya tidak benar.

"Kemarahan ini mungkin disebabkan tekanan ekonomi dihadapi ramai rakyat Malaysia kerana COVID-19, namun tidak wajar kemarahan itu dilemparkan terhadap kaum Rohingya yang juga saudara seagama kita," katanya.

Polemik ketika ini, antaranya tercetus susulan tersebar surat daripada Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani kepada kerajaan, menuntut etnik itu dibenarkan bekerja, mengurangkan kos rawatan mereka dan mewajibkan majikan yang menggajikan etnik Rohingya menyediakan perlindungan insurans.

Surat itu tersebar selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mematahkan cubaan kira-kira 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Langkawi, pada 17 April lalu.

Susulan sentimen kebencian yang semakin meningkat, 17 badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian Rohingya memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia di atas kenyataan tidak bertanggungjawab Zafar Ahmad.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Sij7as
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2YenpDz
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment