Tuesday, 28 April 2020

Desas-desus Adik Bakal Ganti Kim Jong-Un, Amerika Kumpul Maklumat Mengenai Kim Yo Jong


KETIKA pelbagai khabar angin hangat diperdebatkan berhubung tahap kesihatan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, terbaharu muncul spekulasi bahawa kemungkinan adik perempuan pemimpin itu akan mengambil alih pemerintahan Pyongyang jika beliau benar-benar tidak sihat.

Walaupun tidak ada sebarang bukti yang jelas bahawa Jong-un sedang sakit, menurut bekas pegawai Agensi Perisikan Pertahanan, Bruce Klingner, Agensi Perisikan Amerika Syarikat (CIA) pasti akan mempercepatkan pengumpulan maklumat mengenai saudara kandungnya, Kim Yo Jong.

“CIA bertanggungjawab untuk mengumpul fail keluarga Jong-un. Ini bukan hanya maklumat fakta tetapi juga mengenai tingkah laku setiap individu.

“CIA akan melihat isu-isu seperti sejarah ubatan, penyalahgunaan ubat-ubatan, perangai, keyakinan diri dan kecenderungan untuk melakukan tindakan yang tegas.

“CIA akan melihat berapa besar pengaruh Kim Yo Jong dan sejauh mana orang menentangnya,” katanya memetik Nikkei Asian Review.


Klingner menjelaskan kemunculan Yo Jong, 32, ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk yang diadakan di Pyeongchang, Korea Selatan, pada Februari 2018, memberi gambaran mendalam kepada komuniti perisik mengenai kedudukan kepemimpinan wanita itu.

"Pegawai yang lebih kanan dan berpangkat daripada beliau jelas akan menolaknya,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang risikan.

Baru-baru ini Yo Jong telah mengukuhkan kedudukannya selepas dilantik semula sebagai anggota pengganti Parti Politburo pada 11 April lalu.

Terdahulu, penasihat keselamatan tertinggi kepada Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menegaskan bahawa Jong-un masih “hidup dan sihat”, sekali gus menafikan khabar angin mengenai kesihatan pemimpin itu.

Desas-desus mengenai kesihatan Jong-un terus diperkatakan apabila beliau tidak menghadiri sambutan ulang tahun datuknya, Kim II Sung yang juga presiden dan pengasas Korea Utara pada 15 April lalu.

Untuk rekod, Jong-un tidak muncul di khalayak ramai sejak mempengerusikan mesyuarat bersama Parti Politburo, 11 April lalu.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/2YcRx29
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2xkNGoS
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment