Saturday 25 April 2020

Polis Tak Halang Ebit Lew Untuk Serah Sumbangan


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghalang pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew untuk menyampaikan sumbangan kebajikan kepada individu yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis sememangnya memberi kebenaran untuk beliau (Ebit Lew) berbuat demikian selagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, pihaknya ambil maklum tentang keluhan Ebit Lew apabila terpaksa menghentikan bantuan kebajikan setelah dipanggil pihak Cawangan Khas Bukit Aman.

"PDRM ingin memaklumkan bahawa tujuan polis memanggil Ebit Lew adalah berkaitan reaksi orang ramai terhadap tindakan beliau memaparkan aktiviti kebajikan sepanjang PKP di media sosial dan massa.


"Namun berdasarkan pemerhatian, ramai kalangan masyarakat memberi respon positif dan menyokong tindakan kebajikan yang dilakukan Ebit Lew. Bagaimanapun, terdapat segelintir yang kurang senang dengan tindakan Ebit Lew mempamerkan aktiviti tersebut di media sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir berkata, setakat ini tiada kertas siasatan dibuka ke atas pendakwah terkenal terbabit.

Katanya, bagaimanapun PDRM menegaskan bahawa tiada siapa boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang ke atas sebarang pelanggaran berkaitan PKP.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam melaksanakan apa juga aktiviti, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

"Semoga dengan usaha ini, kita dapat memutuskan rantaian jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/355P8I6
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3cKH1Df
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment