Saturday 25 April 2020

99 Pesakit Covid-19 Telah Sembuh & Dibenarkan Pulang Hari Ini. Dua Kali Ganda Daripada Kes Baharu


PUTRAJAYA: Kes pulih daripada COVID-19 hari ini mencatatkan jumlah dua kali ganda daripada kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 99 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah 3,762 kes, iaitu 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi kes baharu, sehingga jam 12 tengah hari tadi, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 51 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 5,742 kes.


Justeru katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 setakat ini adalah 1,882 kes.

"Sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 16 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, terdapat pertambahan dua lagi kes kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 98 kes, iaitu 1.71 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2xaJXtW
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2S2BZKw
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment