Saturday, 25 April 2020

Dakwa Langgar PKP, Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Anak Zahid


Polis berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap anak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah, berhubung dakwaan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Siasatan mendapati Nurulhidayah memuat naik gambar di Instagram dengan kapsyen (berkenaan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli MOhamad dan Timbalan Menteri Alam Sekitar Masrizal Muhammad).

"Setelah siasatan dilengkapkan, polis akan merujuk kertas siasatan tersebut ke Pejabat Peguam Negara," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Huzir Mohamed dalam kenyataan.

Huzir berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan - atas perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang mengancam nyawa - dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 - kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran.


Beliau juga memaklumkan polis telah mengambil keterangan Nurulhidayah hari ini.

Ketika dihubungi, Nurulhidayah mengesahkan berkenaan temu janji dengan ibu pejabat polis Bukit Aman tetapi tidak mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Huzir mengingatkan bahawa tiada siapa yang akan terlepas daripada tindakan jika didapati dengan sengaja melanggar undang-undang.

"Orang ramai dinasihatkan tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif seolah-olah polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran ini," katanya lagi.

Baru-baru ini, tindakan Nurulhidayah memuat naik gambar pertemuannya itu mencetuskan kritikan ramai kerana didakwa melanggar PKP.

Gambar itu menunjukkan dirinya, suami dan Masrizal berdiri dalam keadaan berjarak. Dia juga bertemu menteri agama Zulkifli Mohamad di pejabat bekas mufti itu.

Ketika PKP, hanya seorang dibenarkan bergerak menggunakan kereta dalam jarak 10 kilometer daripada kediaman, kecuali mendapat kebenaran khas polis atau pihak berkuasa untuk bekerja.

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/2S35H20
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3byhQDT
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment