Saturday, 25 April 2020

Rakyat Sudah Muak Dengan Politik, Mahu Kerajaan Selesaikan Covid-19 Dahulu - PM


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil pendekatan untuk tidak memberi tumpuan kepada soal politik, kerana beliau merasakan rakyat sudah cukup muak dengan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, walaupun pelantikannya sebagai ketua kerajaan dalam keadaan yang agak luar biasa, tetapi beliau percaya rakyat lebih gusar mengenai usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Soal pokok sekarang ini rakyat tak nak dengar dah. Saya dah tahu (mereka) muak cerita-cerita tu. Yang mereka nak tahu apa kerajaan buat. Apa Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri dan juga pentadbiran kerajaan yang ada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi.

“Sebab itu saya tidak pun dalam mana-mana kenyataan sebelum ini, hatta sekarang ini, nak mengulas soal-soal yang berkaitan dengan hal politik. Nanti orang kata soal COVID tak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia… yang ini rakyat tidak berminat,” katanya lagi.


Muhyiddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, sebagai seorang ketua kerajaan yang bertanggungjawab, beliau akan menunggu hingga keadaan COVID-19 agak reda, dan akan memberi penjelasan yang sesuai kepada rakyat berhubung isu pertukaran kerajaan itu.

“Saya faham perkara itu. Sebab itu bagi saya, apabila sampai pada masa yang agak sesuai, dan kalau perlu dijelaskan, kita akan jelaskan.

“Bagi saya ini amanah, ini adalah tanggungjawab. Yang ini rakyat nak melihat, kita ini berfungsi atau tidak. Saya dah sebutkan sewaktu pembentukan Jemaah Menteri, this is a functional government, kerajaan yang berfungsi, yang melaksanakan tugas. Yang ini yang saya nak buktikan, yang saya fikir inilah yang rakyat mahu diutamakan,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/2x7cAbi
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2VScTza
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment