Monday, 27 April 2020

"Simpati Bukan Bererti Terima Masuk Etnik Rohingya Ke Malaysia" – Profesor UPM


KUALA LUMPUR– Tidak semestinya perasaan simpati kepada etnik Rohingya perlu diterjemah kepada kesediaan menerima masuk mereka ke negara ini.

Penyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Abdul Muati Ahmad berpandangan, tiada pihak yang membenci pelarian Rohingya ini apatah lagi bagi beragama Islam.

“Secara umumnya rakyat Malaysia bersimpati dengan nasib malang menimpa masyarakat Rohingya seperti mana kita bersimpati kepada rakyat Palestin, Bosnia, Vietnam, Uyghur, Kashmir, Syria dan lain-lain lagi.

“Tetapi tidak bermakna simpati itu perlu diterjemahkan kepada kesediaan menerima mereka masuk ke negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Beliau berkata, simpati kepada etnik berkenaan ibarat bersimpati melihat melaratnya hidup para gelandangan di ibu kota.


“Kita sanggup memberi derma dan sedekah untuk membantu gelandangan ini tetapi tidak bersedia mempelawa mereka datang tinggal di rumah kita.

“Kenapa? Kerana rumah kita adalah untuk kaum keluarga kita. Sama jugalah halnya dengan pelarian Rohingya ini,”katanya.

Dr Abdul Muati berkata, atas dasar perikemanusiaan dan persaudaraan Islam, rakyat Malaysia sedia membantu mereka malah telah pun berbuat demikian.

“Kita sokong mereka dalam persidangan dan forum diplomatik antarabangsa. Kita hantar bantuan material ke tempat mereka di sempadan Myanmar dan Bangladesh.

“Kita pun sudah menerima kemasukan mereka ke negara kita. Di Selayang saja kita terima 3,000 pelarian walhal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapati lebih 14,000 sudah menyusup masuk dan tinggal di sana.

“Itu belum lagi kawasan-kawasan lain di negara ini. Entah berapa puluh ribu sudah masuk ke negara kita ini,” katanya.

Beliau turut mempersoal apakah peranan Malaysia dalam isu Rohingya selama ini tidak mencukupi.

“Apakah tidak cukup bantuan dan sokongan yang kita berikan selama ini? Apakah tidak cukup kemanusiaan lagikah sikap kita ini?

“Saya kira apa yang kita berikan sudah memadai. Jangan mengharapkan lebih lagi. Kita sendiri pun menghadapi dugaan berat akibat COVID-19 ini. Rakyat kita sendiri sedang menghadapi kepayahan,” katanya.

Tambahnya, negara akan berdepan dengan keadaan ekonomi tidak menentu bagi pasca pandemik COVID-19

“Malaysia bukan negara kaya. Rakyat Malaysia bukan semuanya mewah.
Ramai terkesan dengan pandemik ini.

“Berilah ruang untuk kami memulihkan keadaan hidup kami dulu. Utamakan rakyat sendiri. Malaysia adalah untuk orang Malaysia,”katanya.

Katanya lagi, mereka yang menjadi tekong, orang tengah atau barua dalam membawa masuk pelarian dan pendatang haram ini hendaklah dianggap sebagai pengkhianat dan dihukum setimpal termasuk dilucutkan kerakyatan Malaysia.

“Malaysia tak perlukan pengkhianat,” katanya.

Sumber: Abdul Muati Ahmad via Rentas7.com


from Sehinggit Media https://ift.tt/2xUdUim
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2xb8DlY
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment