Sunday 5 April 2020

Pekerja Malaysia Bekerja Di Singapura Tekad Balik Johor, Jalan Kaki 1.5km Petang Ini


JOHOR BAHRU: Pekerja Malaysia yang bekerja di negara jiran, Singapura dijangka akan mula bergerak balik hari ini, dengan berjalan kaki merentasi tambak Johor.

Pembantu produksi sektor elektrik di Singapura, Nur Hamidah Jamal, 30, antara yang mengambil keputusan untuk terus pulang ke tanah air selepas republik itu mengambil tindakan tegas menutup sekolah dan beberapa sektor bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.

Katanya, sebulan adalah satu jangka masa yang lama dan dalam tempoh itu segala kemungkinan boleh berlaku termasuk tiada pekerjaan.

“Kami bimbang kerana sebulan tempoh yang panjang, risau tersadai di negara orang serta berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi di sini (Singapura).

“Kami memang tidak mampu kerana besar kemungkinan juga hilang kerja lebih masa dan kilang akan ditutup kerana ia bukan dalam sektor perkhidmatan penting yang dikecualikan.

“Majikan ada memberitahu, kami tidak diberhentikan kerja tetapi perlu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan. Tempoh itu lama dan saya memang rindukan anak serta suami di Johor Bahru.


“Sebelum ini, walaupun bekerja di Singapura saya akan berulang alik dan bertemu dengan keluarga di Johor. Tetapi kami terpisah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 17 Mac lalu dan saya menetap di Singapura.

“Rasanya memang tidak sanggup hendak biarkan suami dan anak menjalani Ramadan sendirian,” katanya ketika dihubungi.

Kata Nur Hamidah, dia akan berjalan kaki balik ke Johor selepas selesai urusan syarikat dan juga mendapat kelulusan kesihatan.

Katanya, mungkin ramai yang bergerak petang kerana cuaca panas untuk berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer dengan membawa beg pakaian.

Sementara itu, penyelia rangkaian kedai di Singapura, Sofia Safie, 35, berkata masih menunggu kebenaran dan pengesahan dari majikan untuk pulang ke tanah air.

Katanya, jika memang tiada kerja di negara itu, pulang ke Johor adalah lebih baik.

“Keputusan untuk balik belum pasti lagi, hari ini baru dapat jawapan sama ada dibenarkan balik atau tidak, sebab belum dapat keputusan dari pihak atasan.

“Kalau dibenarkan balik, saya akan jalan kaki dari kastam Singapura ke Johor kerana memang tidak ada kenderaan susulan PKP,“ katanya.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2V8RGAN
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/39OgSBE
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment