Tuesday, 19 May 2020

Polis Kedah Akan Buat Pemeriksaan Mengejut Rumah Ke Rumah


ALOR SETAR: Polis Kedah akan melakukan pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah untuk memastikan tiada individu yang mengambil kesempatan pulang secara curi merentas negeri ke kampung halaman di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata sebarang aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan di negeri ini kecuali mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.

"Kita akan ambil tindakan lebih tegas jika masih ada individu yang curi balik ke kampung di negeri ini kerana kita tidak mahu penularan COVID-19 akibat perbuatan mereka itu.

"Kita tak boleh tutup semua lorong atau laluan kecil yang boleh dibolosi namun kita akan buat pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah dan mengambil tindakan jika ada yang cuba pulang senyap-senyap," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.


Zainuddin berkata, dalam pada itu semua anggota dan pegawainya tidak dibenarkan bercuti ketika musim perayaan ini ketika negara masih berperang dengan wabak COVID-19.

Beliau berkata, pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan untuk memantau di lokasi yang menjadi tumpuan awam di negeri ini terutamanya di pasar raya.

"Polis bukan saja memantau bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain lagi.

"Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya kurangkan aktiviti luar dan tidak membawa kanak-kanak atau bayi serta warga emas di tempat tumpuan ramai kerana mereka ini mudah dijangkiti penyakit," katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, polis turut memantau penjualan mercun dan bunga api yang kini dikesan dijual secara dalam talian atau melalui penghantaran dari rumah ke rumah.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau sesiapa saja, kalau kita ada maklumat, kita akan tangkap untuk tindakan lanjut.

"Kita juga mengharapkan maklumat orang ramai, jika ada maklumat, rakaman video, gambar atau info atau lokasi, sila lapor kepada polis untuk memudahkan tindakan diambil segera," katanya.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/3e048uh
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3bRkzb3
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment