Tuesday, 26 May 2020

Penjawat Awam Kantoi, Sanggup Palsukan Dokumen Untuk Beraya Di Kampung


Seorang penjawat awam bersama keluarganya tidak dibenar meneruskan perjalanan pulang ke Putrajaya selepas didapati memalsukan surat kebenaran merentas negeri yang dikeluarkan sebelum ini.

Lelaki berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai kerani itu dipercayai berbuat demikian untuk membolehkan mereka tinggal lebih masa di kampung keluarganya di sini bagi menyambut Aidilfitri.

Difahamkan, dia dan keluarga dibenar pulang ke Kedah sebelum ini dan sepatutnya kembali ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, namun meminda tarikh yang tertera pada surat kebenaran kepada semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata tindakan lelaki itu dikesan apabila dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran pergerakan rentas negeri dari Pendang ke Putrajaya, semalam.


Beliau berkata, anggota bertugas mengesan sesuatu mencurigakan pada surat kebenaran dikeluarkan dari Putrajaya, sebelum semakan dilakukan mendapati tarikh tertera sudah diubah.

"Berikutan itu, lelaki terbabit dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke sana (Putrajaya) dan terpaksa tinggal di kampung di sini sehingga siasatan kes selesai.

"Kes diserahkan ke Bahagian Komersial untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemalsuan surat kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah, selain premis makanan segera dan pasar raya di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Dalam pada itu, Zainuddin mengingatkan semua penjawat awam yang mereka boleh diambil tindakan sekiranya didapati merentas negeri tanpa kebenaran dan melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/3d5BwzA
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2TCZFWw
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment