Ramai memandang isteri yang bangun lambat ini sebagai seorang isteri yang tidak bertanggungjawab. Tetapi tahukah anda bahawa mereka sebenarnya adalah insan yang paling tidak pernah cukup tidurnya. Lagi-lagi jika anda mempunyai anak kecil yang masih menyusu badan.
Sesekali, berilah isteri ini rehat dan biarkan mereka dapat tidur yang secukupnya. Mungkin mereka tidak lena tidur pada waktu malam dan hanya boleh lena apabila menjelang siang. Jangan mudah menghukum.
Perkongsian Akhtar Syamir ini sedikit sebanyak mampu membuka mata para suami di luar sana yang mungkin tidak tahu tentang isteri mereka yang hanya tidur-tidur ayam pada waktu malam. Jangan berkira dengan tidur isteri anda.
ISTERI IALAH ORANG YANG PALING TIDAK CUKUP TIDURNYA.
Jika anda ada isteri yang sedang menyusukan anak, saya nasihatkan anda tidur lambat sedikit. Biarkan isteri dan anak tidur dahulu. Kemudian perhatikan berapa kali anak bangun untuk menyusu.
Dalam satu malam, bukan sekali dua anak bangun nak susu, tetapi berkali-kali. Si ibu bukan boleh beri sahaja dan sambung tidur. Ada anak yang tidak duduk diam, terpusing sana-sini mencari posisi yang selesa. Ditambah dengan bertukar punca susu dari kiri ke kanan dan kanan ke kiri sesuka hati.
Semasa proses menyusu juga si ibu tidak dapat tidur dengan lena. Jika terlelap sebentar, pasti akan terjaga apabila anak bergerak. Hanya bayangkan sahaja jika ada jari yang mencubit dada anda semasa anda tidur dan cubitan itu bergerak-gerak dan bertukar-tukar tempat. Adakah anda boleh tidur lena? Pasti tidak.
Apabila malamnya begitu, adakah mereka dapat tidur yang cukup? Pastinya tidak. Apa yang mereka perlukan? Tidur yang cukup. Apa yang orang lain kena buat? Beri mereka tidur. Itu sahaja. Bukan susah pun nak faham. Orang yang tidak cukup tidur ialah orang yang tidak boleh berfungsi dengan baik.
Badan jadi lesu, kepala jadi serabut. Hasilnya, kepenatan dan perasaan negatif itu akan mempengaruhi keadaan sekeliling, keluarga sendiri khususnya.
Jadi, janganlah berkira dengan tidur si isteri. Biarkan mereka tidur dengan cukup. Jangan diperli-perli jika mereka bangun lambat dan jangan pula memarahi kerana ia sangat mengecewakan. Sudahlah tidak faham keadaan, marah pulak. Sudahlah mengantuk, kena marah pulak.
Yang tak menyusu anak juga sama. Isteri atau ibu pasti sibuk dengan kerja-kerja di rumah. Jika kita sibuk di pejabat dari 8 pagi sampai 5 petang, mereka sibuk dari buka mata sampailah tutup mata.
Jangan dikejut isteri yang sedang tidur semata-mata hal yang remeh termasuklah menyediakan sarapan. Bukan setiap masa pun, sekali sekala ganti tempat dia apa salahnya kan?
Hargai apa yang mereka lakukan. Tak perlu sampai beli itu ini untuk beli jiwa isteri, bagi mereka tidur yang cukup pun sudah memadai.
Orang luar seperti adik beradik, ipar duai, kawan-kawan dan mentua, janganlah menyibuk. Setiap keluarga itu unik dan ada keperluan masing-masing. Pandailah si suami dan isteri tolak ansur dan saling lengkap melengkapi. Kita mungkin rasa kita tahu apa yang sesebuah keluarga itu perlu. Sebenarnya kita hanya tahu apa yang keluarga kita sendiri perlukan, bukan keluarga orang lain.
Beri isteri tidur yang cukup juga adalah sebagai salah satu tanda kita menghormati isteri. Hormat itu datang apabila kita memahami dan saya yakin isteri amat menghargainya.
Semoga dapat mendetikkan sesuatu. Kongsikan penulisan ini supaya lebih ramai yang memahami. Tidur itu sangat penting. Jangan ambil mudah ya?
Sumber: Akhtar Syamir via Pesona Pengantin
from Sehinggit Media https://ift.tt/2XElfLs
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2ZKGYUH
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment