KANGAR: Berbekalkan azam, kesabaran dan disiplin tinggi sejak di bangku sekolah, seorang anak muda kini mampu berbangga apabila menjadi antara pengusaha stesen minyak bumiputera termuda di negeri ini.
Imran Ariff Mohamed @ Razlan, 34 tahun membuat keputusan untuk menceburi bidang peruncitan petroleum setelah terbaca iklan di laman sesawang Petronas kira-kira lima tahun lalu.
Bermula dari saat itulah bekas jurutera elektronik komputer itu nekad meninggalkan kerjaya 'makan gaji' dan beralih ke bidang peruncitan petroleum selepas diterima menjadi wakil niaga Petronas secara 'Company Owned, Dealer Operate' (CODO) pada awal 2019.
Stesen minyak Petronas Jejawi adalah stesen minyak ketiga di negara ini yang mengunakan konsep kontena.
Menceritakan pengalaman dan detik sukar yang dihadapinya, anak muda kelahiran Jerantut, Pahang itu berkata beliau dikira bertuah kerana mempunyai modal awal hasil pampasan yang diterima setelah terbabit kemalangan pada usia 13 tahun.
Biarpun ia menjadi peristiwa hitam dalam sejarah hidupnya apabila mengalami kecederaan di bahagian kepala, beliau berazam menyimpan duit pampasan itu dalam bank dengan membuat pelaburan berisiko rendah melalui Amanah Saham Bumiputera (ASB).
"Pada usia muda, ketika belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) saya disiplinkan diri supaya tidak guna duit simpanan ASB dan hanya melihat rakan-rakan lain memiliki telefon pintar mewah kerana menunggu peluang membuat pelaburan yang menguntungkan dan dapat menjamin masa depan saya dan keluarga," katanya kepada Bernama.
Beliau hanya mengeluarkan duit simpanan sebagai modal permulaan sebanyak RM250,000 pada 2019 apabila menerima tawaran menjadi wakil niaga Petronas.
Menceritakan pengalamannya, Imran Ariff berkata bukan mudah baginya untuk mendapat kepercayaan daripada Petronas dan beliau berusaha keras tanpa rasa putus asa dengan membuat pemohonan sebanyak dua kali bermula pada 2010.
"Pemohonan pertama saya ditolak kerana dianggap terlalu muda untuk menceburi bidang ini, kurang pengalaman dalam pengurusan perniagaan dan latar belakang kerjaya yang kurang sesuai.
"Usaha saya tidak terhenti setakat itu apabila pemohonan kali kedua saya diterima dan berjaya menyakinkan pihak Petronas dengan kertas kerja 'Bagaimana Seorang Jurutera Boleh Menguruskan Stesen Minyak dan Menaikan 'Sales'," katanya.
Beliau menguna kaedah kejuruteraan yang dipelajari ketika belajar di universiti dalam pengurusan stesen minyak dan ia menunjukan kesan positif.
Bagaimanapun, Imran Ariff mengakui agak terkesan dengan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal operasi (Mei 2020) namun keadaan kini bertambah baik.
"Saya guna media sosial bagi menarik minat orang ramai datang ke stesen minyak untuk mendapat barangan seperti cenderahati Petronas di kedai Mesra dan bukan hanya sekadar mengisi minyak sahaja.
"Alhamduillah beberapa produk seperti t-shirt Petronas habis dijual dalam masa yang singkat," katanya.
Ketika ditanya kenapa beliau memilih Petronas, anak muda itu menjawab dengan penuh semangat bahawa ia merupakan lambang negara yang paling dekat dengan dirinya.
"Petronas bagi saya bukan hanya sekadar entiti pernigaan tetapi ia melambangkan negara Malaysia," katanya.
Beliau tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya makan gaji kerana percaya bahawa usaha dengan berasaskan kesabaran pasti ada kejayaan.
"Ramai orang muda hari ini cepat mengalah apabila berdepan ujian gentir namun bagi saya perlu ada kesabaran untuk maju dalam perniagaan selain modal dan perancangan kewangan yang mantap," katanya.
Beliau terharu apabila stesen minyak berkonsepkan kotena yang ketiga seumpamanya ini menjadi tumpuan orang ramai yang teruja dengan seni bina dan konsep hijau stesen itu.
"Ada yang datang bukan hanya untuk mengisi minyak tetapi mahu berswafoto di hadapan stesen minyak saya. Untuk perancangan masa hadapan, saya bercadang menghiasi dinding stesen ini dengan lukisan mural bermotifkan negeri Perlis," katanya.–BERNAMA
from Sehinggit Media https://ift.tt/2XaIxtF
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2M3veoo
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment