Thursday, 28 May 2020

Malaysia Dan Turki Sedia Bekerjasama Bangunkan Vaksin Dan Ubat Berkaitan COVID-19


KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turki sepakat untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi memerangi pandemik COVID-19, sekali gus bersedia bekerjasama dalam membangunkan vaksin dan ubat-ubatan berkaitannya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkongsi isi perbualan telefon bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam berkata, kedua-dua negara mampu bekerjasama menangani cabaran penularan wabak dan pasca COVID-19.

"Saya menzahirkan rasa simpati dan solidariti Malaysia atas bilangan kes dan jumlah kematian yang tinggi akibat COVID-19 yang direkodkan di Turki," katanya di laman Facebook beliau, hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam perbualannya selama 30 minit bersama Edrogan itu, kedua-duanya turut berbincang mengenai langkah memperkasa hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan tinggi, perubatan serta teknologi pertahanan.


Beliau berkata, kedua-dua negara sepakat supaya semua inisiatif kerjasama dua hala ini harus disambung semula sebaik pandemik COVID-19 berakhir.

"Erdogan juga membangkitkan peranan besar Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

"Turki menyeru Malaysia terus aktif di persada antarabangsa, antaranya menolak sekeras-kerasnya tindakan unilateral oleh Israel ke atas Palestin termasuk merampas tanah-tanah milik rakyat Palestin," katanya.

Muhyiddin mengulangi komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai objektif sama, iaitu menyokong rakyat Palestin bebas dari penjajahan Israel dan merealisasikan aspirasi negara Palestin yang bebas.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2XGwa7x
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2BgnRIh
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment