Saturday, 18 April 2020

Adun Mohon Maaf, Perjelas Tindakan Makan Di Maahad Tahfiz


SUSULAN gambarnya bersama seorang timbalan menteri sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tular di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol Razman Zakaria tampil memohon maaf atas perkara itu.

"Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku.

"Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar," katanya dalam satu posting di Facebook pagi Ahad.

Razman menjelaskan, beliau bergerak setiap hari untuk menghulurkan bantuan serta merta terhadap kekurangan peralatan yang diperlukan petugas frontliner terutamanya petugas kesihatan.

"Setiap malam petugas kami menghantar makanan bermasak kepada petugas sekatan jalan raya di sekitar Bagan Serai khususnya.

"Sebagai contoh jika kita tidak turun padang mana kita dapat tahu keperluan tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalan raya amat mendesak," katanya.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, setiap tindakan dilakukan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


"Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP InshaAllah kami akan atasi.

"Marilah bersama kita terus berdoa moga ujian Covid-19 ini dapat meningkatkan iman dan bertambah sayang kita rakyat Malaysia dengan kerajaan Perikatan Nasional ini.

"Sekali lagi saya mohon maaf dan terima kasih rakyat Malaysia, saya sayang anda semua," katanya.

Terdahulu tular beberapa keping gambar Razman dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang juga Timbalan Menteri Kesihatan sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong yang dikatakan melanggar arahan PKP.

Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah, Muhammad Rif'aat Razman dalam posting di Facebook memaklumkan kunjungan Dr Noor Azmi dan pengiringnya di maahad tahfiz tersebut bertujuan untuk singgah menunaikan solat Asar dan makan sebentar kerana tidak sempat makan tengah hari.

Katanya, pada masa sama diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung.

"Singgah solat, makan dan sampaikan sumbangan je, sebenarnya tiada isu besar pun. Tak pasal-pasal maahad tahfiz kami dapat publisiti percuma masuk berita dan tular meluas," katanya.

Kes itu turut mendapat perhatian Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Sesiapa sahaja, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, itu asasnya," kata beliau.

Sumber: Mstar Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2S50yGX
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2RLNlCn
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment