Saturday, 18 April 2020

Menteri Kesihatan Kena 'Bahan' Gara-gara Telesidang Video Dengan 500 Negara


Selepas dipersendakan gara-gara petua meminum air suam yang dikatakan mampu mencegah Covid-19, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sekali lagi meraih perhatian di media sosial.

Kali ini apabila beliau mengatakan telah membuat telesidang video bersama 500 negara dalam satu telesidang video bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya yakin bahawa apa yang saya buat telahpun diiktiraf dunia, datuk seri.

“Saya telah buat video conferencing dengan WHO (pertubuhan kesihatan sedunia), 500 negara eh, saya live," katanya dalam perbualan itu.

Petikan perbualan dalam video berkenaan kemudian ditularkan netizen, yang rata-ratanya menjadikan kenyataan Adham itu sebagai bahan jenaka.

Adham dipercayai tersasul berkata demikian memandangkan hanya terdapat 195 negara di seluruh dunia.

“Nasib la (ketua pengarah kesihatan) Dr Noor Hisham yang selalu buat sidang media. Kalau harapkan Dr Adham Baba yang buat sidang media. Jahanam segala fakta yang sepatutnya dilaporkan. Hahahahaa,” kata salah seorang pengguna Twitter @shahriezalsalim.

"Sebenarnya memang ada 500 negara. Harus ingat bumi ada Earth 616, Earth 617, Earth Prime etc etc. Dr Adham pakar fizik kuantum seperti Tony Stark. Beliau sempat berhubung dengan negara-negara Multiverse. Ya, beliau adalah Dr Strange sebenar," tulis seorang pengguna Twitter, @10befiend


“Aku boleh terima lagi Adham Baba ini kata negara ada 200, ni sampai 500. Ya Allah, kenapa aku dapat menteri macam ini,” tulis seorang lagi pengguna akaun Twitter @Sakinah48373637.

Beberapa laman Facebook propembangkang juga menjadikan kenyataan Adham  sebagai 'modal' untuk menghentam menteri berkenaan.

"Dalam dunia ni ada 195 negara je. Baki 305 negara lagi dari planet mana pulak? Kahkahkah,” kata pentadbir laman Facebook MiloSuam bersama paparan video telesidang tersebut.

Selain itu, beberapa anggota parlimen pembangkang juga dilihat menjadikan kenyataan Adham itu sebagai bahan ejeken.

“Salam 500 negara,” kata Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil secara sindiran di laman Twitter beliau.

"Selamat pagi friends of Adham Baba. Dalam banyak-banyak 500 negara itu mana je korang penah pergi?” sindir Adun Ketari Young Sefura Othman.

Untuk rekod, nama Dr Adham menjadi trending pada tangga ketiga di Twitter sejak semalam.

Sebelum ini, Dr Adham turut menjadi bualan netizen apabila menggalakkan meminum air suam sebagai satu cara membendung Covid-19.

Meskipun dikecam dan dijadikan bahan jenaka, ada juga beberapa ahli politik dilihat membela Dr Adham, antaranya bekas perdana menteri Najib Razak.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib menyifatkan perbuatan tersasul merupakan perkara biasa, malah pemidato hebat juga melakukan kesilapan.



“[…] Kadang-kala tersasul itu memang ada. Pakar pidato paling hebat pernah ada pun boleh tersilap. Kadang-kala tersasul cakap masih OK. Masih boleh dimaafkan,” katanya.

Bersama kenyataan tersebut, Najib memaparkan video Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang tersasul menyebut 50 Januari dalam satu rakaman temubual.

Turut disertakan dalam rakaman itu adalah kenyataan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang menyebut 'akan hentam GST 10 peratus' dalam satu sidang media.

“Tapi yang tidak boleh dimaafkan ialah menteri yang main hentam dengan dasar-dasar negara. Pakar elefan lawan elefan di peringkat antarabangsa, kita ketepikan sekejap,” kata Najib dipercayai merujuk satu temubual Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Tidak ketinggalan, Exco pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo juga menyebelahi Dr Adham.

“Kadang-kala kita tersasul. Kehidupan kita ini tak semuanya sempurna. Tersasul berkata dan menaip juga boleh tersasul. Itu lumrah dan akan berlaku pada setiap insan.

"YB Menteri Dr Adham Baba tersasul dan ia terus dijadikan bahan kutukan oleh pembangkang. Kesian pembangkang ini,” katanya membalas ciapan seorang pengguna akaun Twitter lain.

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/2xJfGT4
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3eI2kYa
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment