MALAYSIA baru sahaja melepasi fasa pergolakan politik terlalu sengit yang menyaksikan perbalahan serta serangan tidak rasional menyalahkan antara satu sama lain.
Hentikanlah. Benar, kemarahan dan kejutan yang kita hadapi bersama sudah tentu tidak akan reda dengan serta-merta. Namun, kita harus bertindak wajar dengan mengutamakan golongan yang terpenting.
Saya bersyukur kerana diberi mandat oleh rakyat Permatang Pauh selaku Ahli Parlimen, mewakili suara mereka pada hari bersejarah, 9 Mei 2018.
Jelas, mandat rakyat harus kita hormati dan pertahankan. Ini prinsip yang merangkul agenda demi rakyat - sama ada kita bergerak sebagai kerajaan mahupun pembangkang.
Keputusan saya pada akhir Disember 2018, untuk tidak lagi bersama di pentas arena politik arus perdana adalah berdasarkan prinsip mengutamakan pemaknaan agenda reformasi yang harus menjalar pelaksanaannya di kalangan masyarakat khususnya penduduk Permatang Pauh.
Tahun ini menjadi saksi kepada sebahagian besar daripada usaha penuh makna di Permatang Pauh yang melibatkan kerjasama bakat terbaik tanah air kita untuk memberi impak sosioekonomi yang positif kepada rakyat.
Antara projek rintis yang utama adalah Program SEDAR iaitu program psiko-sosio-rohani yang melibatkan penggunaan metadon di masjid dan diluluskan oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bagi penagih heroin yang mahu kembali ke pangkal jalan.
Selain itu, kami bakal melaksanakan kajian rumah ke rumah untuk meninjau tahap kemiskinan dengan mengukur indeks kemiskinan multidimensi di Permatang Pauh bersama pakar kemiskinan dan ahli ekonomi tersohor Malaysia, Profesor Fatimah Kari.
Kita juga perlu meneruskan agenda reformasi yang diusahakan oleh Jabatan Penjara Malaysia yang menyasarkan 75 peratus daripada jumlah banduan yang layak dan mampu menyertai Program Pemulihan Dalam Komuniti di luar penjara. Inilah program pemulihan yang sebenar!
Kita memerlukan reformasi di dalam bidang pertanian dan hasrat saya adalah untuk memperkenalkan sistem pertanian bebas racun perosak dengan pasaran lumayan luar negara yang tersedia. Barulah petani kita bakal meraih keuntungan yang setimpal dengan perit jerih mereka. Pertanian moden sebegini sudah tentunya memerlukan pelaburan yang tinggi bukan kepada kroni tetapi petani sejati.
Barulah bekalan makanan negara terjamin dan usaha murni ini wajib dilunaskan oleh agensi kerajaan dan jabatan sedia ada tidak kira parti atau bendera mana yang mengepalai kementerian ini. Bendera petani yang terpenting.
Bayangkan, Malaysia mampu mencapai masa depan tanpa kanser serviks khususnya yang lebih perit dialami oleh wanita berpendapatan rendah menerusi kolaborasi kami dengan Yayasan Rose, Universiti Malaya.
Saya amat bimbang sekiranya pertimbangan politik jahat menguasai mana-mana kerajaan, maka program-program demi rakyat yang telah kami usahakan bersama bakal menjadi mangsa. Sedangkan program demi rakyat harus kalis politik jahat.
Tambahan program yang mahu dilaksanakan bukan program sebarang program, namun program yang terbukti berhasil kerana menjadikan pakar sebenar, bukannya pakar politik sebagai bahan rujukan.
Tidak kira siapa yang memerintah, bersatulah kita semua, dalam memastikan mereka yang mempunyai kuasa, termasuklah Ketua-Ketua Setiausaha di dalam setiap kementerian, mengutamakan kebajikan rakyat, bukannya kepentingan politik.
Kita harus mengumpulkan idea-idea terbaik Malaysia dan melaksanakan program yang memberi impak kepada golongan terpinggir, dan terjerumus di dalam kancah kemiskinan.
Ingatlah, penagih memerlukan rawatan. Maka, klinik Cure and Care di seluruh Malaysia harus diberi dana sokongan supaya dapat beroperasi seperti biasa.
Selain itu, bantuan sara hidup dan bantuan lain harus tepat pada sasaran menerusi ukuran kemiskinan yang lebih menyeluruh dan tepat.
Bantuan haruslah memperkasa dan mempertahan maruah golongan yang dibantu. Inilah reformasi kemiskinan yang sebenar.
Reformasi penjara juga perlu disokong. Berikan suara kepada mereka yang tidak mampu bersuara di atas nama keadilan sosial.
Semaikan kasih sayang, toleransi dan adab serta akhlak yang mulia. Walau ada yang menyemai kebencian, ingatlah peribadi Rasulullah SAW kesayangan umat Islam - kitalah yang mencerminkan agama Islam yang syumul.
Desak kerajaan hari ini untuk mencerminkan rakyatnya, desak mereka untuk mempertahan nilai-nilai murni dan mengutamakan rakyat terpinggir dan golongan bawahan.
Wadah politik saya ialah KEADILAN (Parti Keadilan Rakyat) - yang telah memungkinkan saya merealisasikan idealisme reformasi berpaksikan prinsip keadilan, insya-Allah. Di mana-mana sahaja kawasan parlimen yang kita wakili, kekalkanlah kredibiliti melalui kerja, program, inisiatif dan dalam mempertahan dasar perjuangan.
Saya akan terus menyokong kepimpinan dan teman-teman KEADILAN khususnya untuk memberikan usaha terbaik di dalam memelihara idealisme dan kredibiliti kita.
Kita mesti menyahkan unsur-unsur khianat di dalam jemaah. Kini, adalah masa untuk kita membina semula parti, menegakkan prinsip-prinsip yang kita perjuangkan dan membantu rakyat menikmati dasar terbaik yang kalis politik jahat dan kalis masa depan.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2TuwT9Z
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2VyHp2B
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment