Friday 27 March 2020

'Makcik Kiah, Penjual Goreng Pisang Pun Dah Boleh Tersenyum Sikit'


MENGGUNAKAN analogi penjual goreng pisang bernama Makcik Kiah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada bantuan diumumkan kerajaan, rakyat mampu tersenyum dengan pelbagai bantuan disalurkan.

“Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. “Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion, tadi.

Beliau berkata, keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500.

“Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400.


“Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120,” katanya.

Menurutnya, anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1,200.

“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

“Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2xuzGs6
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2WTcw9P
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment