Tuesday, 31 March 2020

Anwar Beri Jaminan Kepada PM, Sidang Parlimen Bukan Nak Tolak Kerajaan PN


Gesaan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil sidang tergempar parlimen bagi membincangkan pakej rangsangan ekonomi wabak Covid-19 tidak ada kaitan dengan percaturan politik untuk menolak majoriti PN di Dewan Rakyat, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau yang bercakap pada siaran langsung di halaman Facebooknya memberi jaminan mengenai hal ini.

"Saya telah beri jaminan kepada PM kita tak akan gunakan sidang ini untuk menolak majoriti kerajaan kalau pun dia bimbang soal majoriti ahli parlimen yang mendokong kerajaan PN.

"Kita hanya akan bahaskan dan minta penjelasan dalam beberapa isu dari PM dan menteri kewangan serta menteri-menteri lain yang sebahagiannya tidur atau asyik pamer pakaian aneh-aneh, itu soal lain

"Tapi bila kita soal di parlimen dia wajib jawab dan kerana ia melibatkan kewangan negara ia mesti dibahaskan di parlimen dan diluluskan di parlimen," katanya.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau setuju 'Kak Kiah, diberikan bantuan, malah "minta disegerakan."

"Bukan setakat itu. Kita minta anggota parlimen kita tambah dana," katanya.

Anwar merujuk nama timangan 'Mak Cik Kiah' yang digunakan perdana menteri bagi menggambarkan bantuan terhadap golongan berpendapatan rendah B40 ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion baru-baru ini.


Isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan akan menerima RM1,600, di mana RM1,000 akan dibayar pada bulan April dan baki pada bulan Mei.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan parlimen akan bersidang seperti dijadual pada 18 Mei depan.

Menjelaskan mengapa sidang tergempar parlimen perlu diadakan, Anwar berkata Malaysia tidak boleh diperintah oleh satu dua orang yang anggap mereka serba pandai dan serba tahu.

"Negara ini tidak boleh diperintah oleh satu dua orang yang anggap mereka serba pandai dan serba tahu," tegasnya.

Dari mana sumber biaya pakej rangsangan?

Anwar yang juga MP Port Dickson berkata terdapat beberapa hal yang perlu diperhatikan, khususnya persoalan dari mana sumber pembiayaan pakej rangsangan tersebut.

"Ya, dari mana? dari syarikat-syarikat kerajaan, KWSP, Petronas? Dari mana?

"Itu kita harus tahu kerana bukan sahaja hari ini satu keputusan pinjam dan sebagainya yang akan punya kesan puluhan tahun, atau sekurang-kurangnya 10 tahun," soal Anwar.

Jelas Anwar, belanjawan negara juga akan terganggu disebabkan unjuran dibuat berdasarkan harga minyak pada tahun lalu sebelum kejatuhan harga minyak dunia.

"Maknanya hampir setengah dari unjuran kita. Maknanya pendapatan negara akan turun dari segi hasil minyak dan gas, kemudian dari pelancongan, industri kecil dan sederhana yang sekarang mendapat dampak yang sangat negatif di seluruh negara yang menyebabkan puluhan ribu pekerja hilang pekerjaan dan pendapatan

"Semua ini perlukan dokongan seluruh rakyat dan oleh kerana unjuran belanjawan itu sudah meleset dan dia kena kembali ke parlimen. Saudara, kita perlu bincangkannya di parlimen. Bukan propaganda," katanya lagi.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga membangkitkan kebimbangan sama bahawa keuntungan kerajaan akan merosot sehingga 50 peratus kerana penurunan harga minyak dunia, memandangkan belanjawan 2020 dibuat bersandarkan jangkaan hasil Petronas pada harga AS$63 setong.

Jelasnya, ini bermakna hasil kerajaan mungkin akan berkurangan sebanyak RM30 bilion.

Dr Mahathir pada 23 Mac lalu menyifatkan kemelesetan ekonomi dunia akibat wabak Covid-19 sebagai "malapetaka."

Bank Dunia pula meramalkan Malaysia berdepan kemelesetan ekonomi bagi tahun 2020, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggarkan merudum ke paras negatif (-) 0.1 peratus.

Bank Dunia menjangkakan eksport bersih dan pelaburan mengecut pada 2020 dan "yang lebih signifikan adalah kehilangan pekerjaan dan pendapatan dijangkakan (berlaku) di kalangan golongan 40 peratus terbawah (B40), malah (turut berlaku) di kalangan 40 peratus pertengahan (M40)."

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/342889V
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2WWNo1O
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment