Monday, 30 March 2020

PKP Perlu Dilanjutkan Sehingga Enam Minggu - Dr Awang Bulgiba


SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan pada 18 Mac lalu disifatkan sebagai langkah terbaik yang dilakukan kerajaan dalam memerangi penularan wabak koronavirus Covid-19 di negara ini.

Ahli epidemiologi, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud bagaimanapun berkata, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu pelaksanaan PKP secara berturut-turut dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19 ke tahap yang boleh diurus.

Menurutnya, tempoh itu diperlukan bagi berdepan tiga lagi gelombang melibatkan ribuan peserta perhimpunan tabligh di Majlid Sri Petaling yang masih belum dikesan, mereka yang mengembara ke Makassar di Sulawesi, Indonesia, untuk perhimpunan tabligh dan mereka pulang ke kampung sebaik penguatkuasaan PKP dilaksanakan.

“Jadi kita memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk memastikan kes-kes Covid-19 ini boleh dikawal. Walaupun keputusan kerajaan memanjangkan tempoh PKP dari 31 Mac sehingga 14 April depan tetapi tempoh itu dilihat masih belum mencukupi.


“Sekiranya ia berjaya menunjukkan penurunan terhadap kes jangkitan baharu, namun kita masih perlu memanjangkan tempoh PKP kerana kita mahu angka-angka itu turun ke sifar atau nombor yang kecil dan boleh diurus. Saya percaya keadaan itu tidak akan berlaku dalam masa empat minggu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas mengenai langkah pencegahan yang dilakukan, Dr Awang Bulgiba menggesa kerajaan memastikan kadar kepatuhan PKP perlu berada pada kadar 99 peratus dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan yang dilaksanakan.

Katanya, kadar kepatuhan rakyat Malaysia yang kurang walaupun kerajaan ada mengumumkan berlakunya peningkatan dari masa ke masa, namun ia dilihat masih belum mencukupi untuk membendung kes Covid-19 yang sentiasa bertambah.

“Kita lihat masih ramai lagi yang melanggar arahan PKP dengan alasan-alasan yang tidak munasabah seperti membeli keperluan rumah tetapi menempuh perjalanan lebih dari 10 kilometer.

“Jadi saya berharap selain kerajaan, masyarakat sendiri perlu memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan kekal berada di rumah kerana kita tidak mahu situasi yang berlaku di Itali turut melanda negara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/33Y7ji8
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2wEbrYM
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment