Tuesday, 31 March 2020

Lelaki Didakwa Cuba Bunuh Anggota Tentera Di Sekatan Jalan Raya


AYER KEROH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, minggu lalu.

Mohd Haiqal Hamdan, 25, yang pekerja kedai makan, didakwa cuba membunuh Alexson Anak Franky, 21, dengan melanggar menggunakan kereta jenis PROTON Gen 2 berwarna merah ketika operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di hadapan pintu pengawal Kem Terendak, Sungai Udang di sini, pada jam 4.30 petang, 23 Mac lalu.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa cedera di paha kiri dan kanan yang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diperiksa pegawai polis di Jalan Klebang Kecil di sini pada jam 3 petang, 24 Mac lalu mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Mohd Haiqal diikat jamin RM8,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu ibunya perlu menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh diwakili peguam, S S Amritpal Singh.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh bersama teman wanitanya, Norsyazlina Mohd Asri, 21 dijatuhkan hukuman penjara setahun kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perintah itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee ke atas mereka selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didapati melanggar PKP ketika operasi SJR di hadapan pondok pengawal Kem Terendak, Sungai Udang, di sini tanpa alasan munasabah.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang boleh dihukum di bawah peraturan 7(1) peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/33YBwh5
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2JuHQDE
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment