Friday 17 April 2020

Tak Pakai Topeng Muka Di Tempat Awam Bukan Satu Kesalahan - Ismail Sabri


KUALA LUMPUR : Tidak memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam bukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sehingga menyebabkan seseorang itu boleh ditahan atau didenda.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nasihat Ketua Pengarah Kesihatan adalah jelas bahawa penutup hidung dan mulut hanya untuk mereka yang mempunyai gejala sahaja.

“Jadi, tidak boleh kita kuatkuasakan sesiapa yang tidak pakai topeng muka ditahan. Pernah satu ketika, pengurus pasar raya dan pengawal keselamatan telah menahan individu yang hendak masuk ke premis mereka tanpa memakai topeng. Ini jelas melebihi peraturan yang dikeluarkan di bawah akta ini. 

“Jadi, bagi kita tidak menjadi kesalahan kalau tak pakai topeng tersebut,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu laporan bahawa seorang individu telah dikenakan kompaun kerana gagal memakai penutup hidung dan mulut sewaktu berada di tempat awam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pekerja pembersihan yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) seperti petugas barisan hadapan yang lain.

Beliau berkata, memadai mereka memakai penutup hidung dan mulut serta sarung tangan sahaja kerana operasi kutipan sampah tidak melibatkan pertemuan secara langsung dengan penduduk di kawasan PKPD berkenaan.

“Keadaan berbeza apabila mereka masuk ke dalam bilik (hospital atau tempat rawatan) untuk mencuci, maka perlu pakai PPE kerana wujud hubungan langsung dengan orang yang mempunyai gejala, ada keberangkalian mereka akan dijangkiti COVID-19 (jika tidak memakai PPE),” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/2VhiKyI
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/34GvdiP
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment