Hantavirus adalah suatu penyakit yang disebabkan virus Hanta. Wabak pertama ini ditemui ketika Perang Korea antara 1950 dan 1953. Di Amerika pula, ia pernah dikesan pada 1993.
Virus RNA ini adalah virus zoonotik yang berasal daripada jangkitan dari roden mamalia seperti tikus.
Jangkitan ini menjadi kembali popular, selepas terdapat kes kematian lelaki dari warga China, pada 25 Mac lalu.
Ia sekali gus membimbangkan masyarakat sekiranya virus itu merebak ke luar negara China seperti pandemik COVID-19.
Setakat ini, kadar jangkitan tikus akibat Hantavirus ini adalah rendah dan kajian kecil sudah dijalankan beberapa kali di Malaysia seperti Pulau Pinang, Klang, Perlis dan Kelantan, iaitu membuat uji kaji ke atas yang mempunyai virus itu dalam badannya.
Misalnya, Kajian Hamdan et al, pada 2017 dalam jurnal Tropical Life Sciences Research di Sarawak, menunjukkan jumlah roden terinfeksi virus ini masih kecil.
Bagaimanapun, Malaysia tetap perlu berjaga-jaga untuk mengelakkan wabak yang besar. Sementara Zana et al. pada tahun lalu, di dalam jurnal International Journal of Infectious Diseases, menunjukkan evolusi virus, di mana virus itu juga dikesan dalam tisu paru-paru kelawar.
Dijangka terdapat sekitar 150,000 kes setiap tahun dan separuh daripadanya berlaku di China.
Beberapa kes berlaku secara kecil, akibat virus ini di beberapa negara seperti India, Afrika, Asia Timur tetapi kematian ini tidak dilaporkan.
Tempoh inkubasi penyakit adalah satu hingga lima minggu. Sehingga kini, masih tiada rawatan khas atau vaksin yang ada untuk penyakit ini.
Kenali virus Hanta
Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata virus ini berasal daripada genus Hantavirus, dari keluarga Bunyaviridae. Virus ini merebak terutamanya dari tikus (haiwan reservoir juga dikenali sebagai hos). Ia boleh mengakibatkan kadar kematian yang tinggi hampir 35 peratus dan kadar kematian adalah lebih tinggi dalam kalangan golongan lebih berusia.
Katanya, virus ini mengakibatkan gejala ringan seperti demam, sakit badan dan keletihan umum.
“Sehingga ke manifestasi parah iaitu pendarahan teruk dengan kegagalan buah pinggang dan kesukaran bernafas jika jangkitan ke paru-paru terjadi.
“Dua kesan utama iaitu demam berdarah dengan kegagalan buah pinggang (Haemorrhagic Fever With Renal Syndrome) yang berlaku di Russia, China, Korea, dan Eropah Barat.
“Jenis kedua ialah jangkitan ke paru-paru (Hantavirus Pulmonary Syndrome) dan berlaku di Amerika (negara seperti Kanada, Amerika, Argentina, Brazil, Chile, Panama).
“Cara merebaknya ialah melalui inhalasi aerosol tercemar hasil kencing, najis tikus, memakan daging tikus (negara-negara tertentu masih memakan tikus), dan jika digigit tikus.
“Kencing dan najis tikus terinfeksi berbahaya jika tercemar ke makanan, minuman, air mandi harian, tempat air bertakung dan sebagainya.
“Ini lebih mudah berlaku jika terdapat luka pada manusia yang berhubung dengan najis atau air kencing tikus itu," katanya.
Perbezaan dengan Coronavirus (COVID-19)
Beliau menjelaskan, punca jangkitan penyakit COVID-19 adalah berasal dari kelawar, manakala Hantavirus dari tikus terinfeksi.
Katanya, sehingga kini tiada rawatan atau vaksin khas, di mana kaedah rawatannya adalah berdasarkan gejala penyakit, sama seperti COVID-19.
“Cara rebakan adalah berbahaya, misalnya coronavirus boleh merebak melalui titisan air (droplets) yang terawang-awang di udara, merebak dari manusia ke manusia lain.
Juga melalui sentuhan langsung dengan permukaan tercemar virus seperti meja, pemegang pintu dan besi yang mana virus ini ditinggalkan. Ini menyebabkan COVID-19 dianggap lebih berbahaya dan sangat mudah merebak secara langsung dari individu ke individu yang lain,” katanya.
Cara virus Hanta merebak
Virus Hanta merebak melalui kontak langsung, aerosol tercemar dengan hasil najis, air liur, air kencing, digigit tikus atau memakan tikus.
Pemindahan jangkitan daripada individu kepada individu lain adalah sangat jarang dan bukan diketahui sebagai punca jangkitan utama.
“Oleh demikian, kemungkinan virus ini merebak sebagaimana pandemik COVID-19 adalah sangat sukar berlaku setakat ini.
“Kedua-dua virus boleh menjangkiti paru-paru. Jika hantavirus ini menjangkiti paru-paru, kesannya kelihatan seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) seperti yang disebabkan oleh COVID-19 kemungkinan boleh berlaku.
Cara pencegahan
Dr Sharifa Ezat berkata, dalam mengekang penularan Hantavirus, seseorang harus mengelakkan daripada bersentuhan dengan najis, air kencing atau tikus secara langsung.
"Kita hendaklah sentiasa memastikan dalam rumah, pejabat, di keliling rumah, kawasan tempat tinggal, dan tempat bekerja tidak mempunyai sarang tikus atau mempunyai pembiakan tikus yang aktif.
“Sampah, barang-barang terbuang dan makanan jangan dibiarkan tidak diurus di sekeliling rumah supaya haiwan itu tidak mempunyai sumber makanan atau membiak.
Diingatkan juga supaya berhati-hati ketika menangkap tikus kerana tikus boleh menggigit, kencing dan virus ini akan merebak ke udara bila bercampur air dan udara terdedah," katanya.
Kaedah lain
Katanya, memakai sarung tangan dan topeng muka
sangat digalakkan digunakan sewaktu proses pembersihan dan penangkapan tikus berlaku.
Sementara najis dan air kencing tikus jangan disapu atau divakum.
“Cara yang disarankan ialah nyah cemar najis, air kencing dengan pembasmi kuman (contoh kawasan disembur dengan Clorox), kemudian mengelap najis dan membuang kain atau tisu yang sudah digunakan," katanya.
Sumber: BH Online
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/3bnMik0
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2RNAxvt
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment