Sunday, 19 April 2020

China Akan Dikenakan Tindakan Jika Terbukti Sengaja Sebar Wabak COVID-19


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran China akan berdepan tindakan jika terbukti dengan sengaja mengakibatkan penularan wabak COVID-19.

“Wabak itu sepatutnya terhenti Di China, namun yang sebaliknya berlaku. Kini dunia terpaksa menghadapinya,” katanya pada taklimat media di Rumah Putih, hari ini.

“Jika ia terbukti satu kesilapan, salah tetap salah dan jika benar mereka dalangnya, akan ada tindakan.

“Kita akan menyiasat sama ada itu kesilapan yang tidak dapat ditangani atau disengajakan? Ada perbezaan besar antara kedua-dua ini,” katanya.

Beliau berkata, China sepatutnya membenarkan petugas AS memasuki negara itu ketika penularan wabak berkenaan masih pada peringkat awal.


“Dalam apa cara sekalipun, mereka patut memberi keizinan kepada AS untuk masuk. Kita sudah memohon memasuki negara itu lebih awal tetapi mereka menolaknya. Saya fikir mereka (China) tahu sesuatu yang buruk sudah berlaku dan mereka berasa malu,” katanya.

Trump berkata, China sebaliknya mendakwa sudah melakukan siasatan berhubung penularan wabak terbabit.

“Kita lihat nanti akan hasil siasatannya. Pada masa sama, AS turut menjalankan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, pentadbiran Trump tidak menolak kemungkinan bahawa virus yang dipercayai daripada kelawar, berasal daripada makmal di Wuhan.

Bagaimanapun, jurucakap Menteri Luar China, Zhao Lijian yang sebelum ini mendakwa virus itu dibawa tentera AS ke China, menolak teori berkenaan atas alasan tiada bukti saintifik.

Trump sebelum ini juga meragui angka rasmi kerajaan China yang menunjukkan 0.33 peratus kematian untuk 100,000 pesakit COVID-19.

“Angka itu adalah mustahil,” katanya.

Dalam pada itu, AS merekodkan 11.24 peratus kematian untuk 100,000 pesakit, manakala Perancis (27.92 peratus) dan Sepanyol (42.81 peratus) bagi 100,000 penduduk. - AFP


from Sehinggit Media https://ift.tt/3cvFxg2
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3bngJGS
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment