JUMLAH pesakit yang dijangkiti wabak COVID-19, di Malaysia menjangkau 3,000 lebih kes dengan 70 angka kematian.
Wabak ini menjangkiti individu dalam skala yang besar serta amat sukar dikekang penyebarannya. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat tepat bagi membendung secara menyeluruh.
Walaupun PKP peringkat kedua akan berakhir pada 14 April ini, rakyat harus bersedia sekiranya dilanjutkan bergantung kepada keadaan semasa.
Selain warga emas, wanita mengandung juga adalah antara mereka yang berisiko tinggi dijangkiti wabak ini.
Justeru, wanita mengandung yang memasuki trimester ketiga dalam tempoh PKP ini pasti merasa khuatir untuk keluar menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan, dan tertanya-tanya adakah mereka memerlukan persiapan lebih sekiranya ditakdirkan bersalin dalam tempoh PKP.
Pemeriksaan kandungan adalah sangat penting diteruskan ketika PKP. Pemeriksaan akan bertambah kerap di trimester ketiga, iaitu antara seminggu atau dua minggu sekali.
Mereka hanya perlu menunjukkan bukti dalam bentuk Kad Temujanji atau Buku Antenatal di pos kawalan polis sekiranya perlu hadir ke klinik.
Walau bagaimanapun, ibu hamil dinasihatkan hanya membawa seorang peneman dan mengamalkan penjarakan sosial, di samping menjaga kebersihan serta kerap mencuci tangan.
Ibu hamil juga dinasihatkan memberitahu pihak klinik sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak supaya pemeriksaan dapat ditangguhkan sehingga tempoh pengasingan tamat.
Dalam tempoh PKP ini, wanita hamil tidak digalakkan merantau atau pulang ke kampung untuk bersalin supaya risiko jangkitan COVID-19, dapat dikurangkan. Tetap berada di tempat tinggal dan bersalin di hospital berdekatan.
Sekiranya secara kebetulan anda berada di kampung sewaktu tempoh PKP ini, laporkan diri ke klinik kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan kandungan, untuk rujukan bersalin di hospital terdekat.
Mereka tidak digalakkan keluar rumah melainkan untuk urusan pemeriksaan kandungan dan bersalin sahaja.
Kebanyakan hospital mengehadkan pelawat dan menangguhkan pelaksanaan Polisi Mesra Ibu untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Anda boleh menghubungi pihak hospital untuk bertanyakan polisi semasa supaya anda lebih bersedia.
Anda juga harus bersedia secara mental dan fizikal ketika melahirkan kerana akan hanya ditemani petugas wad bersalin yang sentiasa bersedia membantu anda.
Persediaan bersalin harus dilakukan awal supaya tidak terburu-buru apabila sampai masanya. Barang keperluan lebih baik disimpan di dalam kereta supaya mudah ke hospital sewaktu hendak bersalin nanti.
Anda perlu membawa pembersih tangan untuk kegunaan ketika di hospital.
Segera ke hospital sekiranya ada tanda-tanda seperti kontraksi lebih kerap, pendarahan atau pecah air ketuban.
Dalam tempoh PKP ini, masa perjalanan ke hospital mungkin lebih lama memandangkan harus melalui pos kawalan polis di dalam perjalanan.
Justeru, anda boleh memohon bantuan pihak polis untuk menggunakan laluan kecemasan sekiranya kontraksi anda bertambah kuat.
Ibu hamil harus melalui kaunter saringan di pintu masuk hospital. Anda perlu memberitahu kakitangan bertugas sekiranya bergejala seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak, ada sejarah perjalanan dan kontak dengan pesakit COVID-19.
Anda juga mungkin perlu mengisi borang deklarasi Covid 19 yang mengandungi segala maklumat di atas. Suhu badan juga akan diambil untuk memastikan tiada gejala sebelum ke dewan bersalin.
Anda tidak perlu pakai topeng muka ketika bersalin sekiranya tiada gejala. Mereka tidak perlu risau terkena jangkitan wabak ini ketika bersalin kerana pesakit disahkan positif COVID-19 diasingkan dan dirawat di hospital khas.
Kebanyakan hospital mengehadkan waktu lawatan atau tidak membenarkan pelawat menziarahi pesakit untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Fasa seterusnya, wanita perlu sentiasa bertenang dan fokus untuk memulihkan kesihatan selepas bersalin serta menyusukan bayi.
Sekiranya tiada masalah, mereka dibenarkan pulang ke rumah antara 12 jam hingga 24 jam selepas bersalin secara normal. Bagaimanapun akan dipantau dua hingga tiga hari sekiranya bersalin secara pembedahan.
Anda tidak digalakkan pulang ke kampung berpantang sepanjang PKP, sebaliknya hanya di rumah dengan bantuan suami.
Wanita selepas bersalin, jangan menerima pelawat di rumah untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada anda dan bayi.
Menjadi tanggungjawab setiap individu mengekang penularan wabak ini. Bersama-sama kita mengikuti semua arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan supaya mematuhi PKP agar wabak ini dapat dibendung.
Penulis adalah Pakar Obstetrik dan Ginekologi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM).
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2yT9MiH
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2V3uZPH
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment