Saturday, 18 April 2020

Penghantar Makanan Maut Dilanggar Lori, Diseret 10 Meter


SEORANG penghantar makanan yang baru memenuhi tempahan pelanggannya, maut apabila motosikal yang dinaikinya diseret kira-kira 10 meter selepas berlanggar dengan lori di simpang empat Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah di Alor Gajah, tengah hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Muhammad Salman Nor Tazah, 19, yang bekerja dengan sebuah syarikat katering, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas dirempuh lori membawa muatan udang itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata siasatan awal pihaknya mendapati, pemandu lori berusia 33 tahun itu dikatakan memandu dari arah Masjid Tanah menghala ke Port Dickson, Negeri Sembilan.


Katanya, apabila sampai di simpang empat Taman Bidara Permai, motosikal ditunggang mangsa dari Taman Bidara Permai keluar simpang untuk ke Taman Idaman yang terletak berdekatan sebelum berlaku pelanggaran.

“Pelanggaran berlaku di tengah persimpangan berkenaan dengan motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa diseret sejauh kira-kira 10 meter. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang berasal dari Taman Tanjung Minyak, Bukit Rambai, Alor Gajah, dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2KhXKln
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/34KfFKI
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment