Wednesday 22 April 2020

Orang Ramai Tak Dibenarkan Balik Kampung Sambut Ramadan Ketika PKP - Ketua Polis Kedah


ORANG ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Ramadan pada Jumaat ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan di Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mereka perlu patuh arahan PKP untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, walaupun daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Kuala Muda berada dalam Zon Jingga, namun semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga walaupun bilangan kes jangkitan baharu sudah berkurangan.

“Tak ada isu nak balik kampung untuk sambut puasa sebab PKP masih dilaksanakan dan masing-masing kena duduk di rumah.


“Kami tak mampu nak kawal mereka yang ingkar PKP, selain sekatan dan pemeriksaan mengejut, kita harap semua ketua keluarga memainkan peranan untuk memastikan ahli keluarga duduk di rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya membenarkan kumpulan kecil ahli keluarga untuk menziarahi kematian atau orang sakit ketika PKP ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar kes jenayah terutama curi motosikal dan kereta di Kedah didapati menurun 70 peratus sepanjang PKP ini.

Katanya, seramai 1,475 individu pula ditahan kerana ingkar PKP sejak 18 Mac lalu hingga semalam dengan sebahagiannya direman manakala 349 kompaun dikeluarkan setakat ini.

“Bagaimanapun, mereka yang ditahan kerana terbabit dengan kes dadah dan jenayah akan terus ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2wZnTT1
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2RXx0L8
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment