BUTTERWORTH: “Jika Mama dan Papa tiada nanti, kakak yang bertanggungjawab jaga adik-adik, pastikan semua kena pergi sekolah dan jangan ponteng,” demikian pesanan yang sering dititipkan Zuriana Hasan, kepada anak sulungnya, Nur Afni Nirwani Khairizul, 16.
Zuriana, 35, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1 pagi tadi selepas dua bulan dia bertarung nyawa selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama suaminya, Khairizul Mohamad Noor,38.
Dalam kejadian 9 Februari lalu, suami Zuriana meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggang mereka dilanggar pemandu dipercayai mabuk pada jam 5 pagi di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara dekat susur ke Perai.
Kini Nur Afni Nirwani, 16, serta adik-adiknya, Nur Istana Nadira,14; Nur Erna Nabila, 12; Nur Qurratul Ain, 7; dan Muhammad Khairi Zafran berusia hampir dua tahun bergelar yatim piatu selepas kematian kedua ibu bapa mereka.
Nur Afni Nirwani berkata, beberapa hari lalu dia merasakan keadaan ibunya bertambah baik apabila mampu menggerakkan jari dan membuka mata.
“Ketika itu saya panggil mama dan mama buka matanya sambil menggerakkan jarinya yang saya fikir mama akan kembali pulih tetapi semalam saya pergi melawatnya mama sudah tidak sedarkan diri.
“Tidak lama kemudian, kami mendapat panggilan memaklumkan mama sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal, di sini, hari ini.
Katanya, sebelum kemalangan yang berlaku hingga mengorbankan nyawa ibu bapanya dia sering mendapat pesanan supaya menjaga adik beradik dan tidak sesekali berpisah walau apa cara sekalipun.
“Mama pesan jika dia dan papa tiada, saya kena tengokkan adik-adik dan jangan berpisah. Banyak kali mama pesan dan beri nasihat yang saya akan laksanakannya.
“Pada masa sama, saya berharap orang yang melanggar mama dan papa hingga menyebabkan kematian mereka mendapat hukuman setimpal mengikut undang-undang,” katanya.
Nur Afni Nirwani berkata, dia bersama adik-adiknya kini tinggal bersama datuknya, Hassan Ismail, 67, dan nenek, Asmalaili Mohd, 59.
Sementara itu, Hassan berkata, sejak kemalangan yang menimpa anak perempuan dan menantunya, dia sering menasihati cucu-cucunya supaya reda terhadap apa yang terpaksa dilalui pada masa akan datang.
“Setiap hari terutamanya cucu saya Qurratul Ain selalu tanya bila mama mereka akan balik tetapi saya kata mama nak balik ikut papa, jadi semua kena kuat.
“Ini kerana, doktor sudah memaklumkan kepada saya bahawa anak saya sudah tidak ada harapan untuk sembuh dan meminta kami sekeluarga bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
“Jadi selain berdoa saya meminta cucu-cucu saya reda dengan ujian yang diberikan yang mana saya akan jaga mereka selagi kudrat masih ada,” katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2JEhDTj
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3bNN1dW
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment