Thursday 16 April 2020

Cubaan Seludup Masuk 200 PATI Etnik Rohingya Berjaya Dipatahkan Oleh TUDM


KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mematahkan cubaan kira-kira 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Langkawi, pagi tadi.

TUDM dalam satu kenyataan melalui Facebook berkata, bot dinaiki PATI itu dikesan pesawat TUDM di kedudukan 70 batu nautika, iaitu 129.6 kilometer (km) dari barat Pulau Langkawi, pada jam 10.26 pagi.

“Pesawat TUDM seterusnya menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), iaitu KD Lekiu dan KD Lekir, yang terus digerakkan ke lokasi itu.

“Kedua-dua kapal itu kemudian berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM bagi mengekang pergerakan bot PATI itu.


“Atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan PATI itu sebelum mengiringi bot berkenaan keluar daripada memasuki perairan negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TUDM akan terus menjaga keselamatan dan kedaulatan kawasan maritim negara daripada dicerobohi pihak luar bagi mengelakkan kluster baharu COVID-19 di negara ini.

“Dengan keadaan penempatan dan kehidupan daif di tempat asal mereka, adalah sangat dibimbangi kumpulan PATI yang cuba memasuki Malaysia sama ada melalui jalan darat atau laut akan membawa kluster baharu COVID-19.

“Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan, terutama dengan krisis dunia dilanda pandemik COVID-19 yang menjadikan Malaysia tumpuan kumpulan PATI,” katanya.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/3epTcHz
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2RNoyOC
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment