Monday 20 April 2020

Bos Dipenjara 7 Hari & Didenda RM10,000 Sebab Suruh Staf Masuk Kerja Masa PKP


Seorang pengarah syarikat kilang kitar semula, didenda RM10,000 dan dipenjara tujuh hari, selepas mengaku bersalah membenarkan pekerjanya bekerja tanpa kebenaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Ong Lin-Tjong, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dari Kilang Privilege Industry Sdn Bhd yang beroperasi di Kawasan Perusahaan Bakar Arang di sini, didapati membenarkan dua lelaki berhimpun di dalam kilang bagi tujuan sosial pada jam 11.50 malam, 4 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.


Mahkamah turut memerintah hukuman enam bulan penjara terhadapnya, jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husnah Omar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, seramai 23 lelaki didenda RM1,000 setiap seorang dan dihukum penjara tujuh hari selepas mereka mengaku bersalah melanggar PKP.

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka didakwa melanggar PKP di lokasi berasingan sekitar daerah Kuala Muda antara 27 Mac sehingga 13 April lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mahkamah turut memerintah hukuman penjara sebulan terhadap semua tertuduh berusia 18 sehingga 41 tahun itu sekiranya mereka gagal membayar denda.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Kngwro
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3aoJS3l
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment