PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadi manusia yang hebat dalam mengharungi kesusahan sepanjang negara dilanda COVID-19.
Menurut Muhyiddin, kesemua anggota masyarakat dilihat menjaga sesama sendiri tanpa mengira bangsa.
"Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
"Saya nak menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan saya kepada anda semua sebagai rakyat Malaysia. Anda adalah manusia yang hebat," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.
"Kepada doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan, kumpulan barisan hadapan itu dipuji kerana mengambil risiko setiap kali melangkah masuk ke wad."
"Tetapi anda terus melangkah dengan gagah untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Walaupun letih, anda tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta. Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit COVID 19, hospital swasta menerima pesakit-pesakit bukan COVID 19 untuk dirawat," ujarnya.
Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya.
"Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan. Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima
kasih.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan.
"Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat. Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan.
"Grab food, Food Panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat," kata Muhyiddin.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media https://ift.tt/3cajHyq
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2UZ3oyS
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment