Thursday 16 April 2020

8 Hari Bersendirian Di Hospital, Hanya Al-Quran Jadi Peneman. Remaja Yatim Piatu Kongsi Pengalaman Di Wad Isolasi COVID-19


KOTA BHARU: “Lapan hari bersendirian di hospital, hanya al-Quran menjadi peneman setia.”

Remaja yatim piatu, Mohd Alham Salleh, 13, tenang berkongsi pengalaman dimasukkan ke wad isolasi Hospital Tumpat dekat sini, selama lapan hari kerana disyaki COVID-19 selepas mengalami batuk sebelum dibenarkan pulang Isnin lalu.

Mohd Alham yang berasal dari Tak Bai di selatan Thailand dan belajar di sebuah madrasah di Kampung Tapang di sini berkata, masa terluang sepanjang berada di wad dihabiskan dengan mengaji al-Quran yang dibekalkan hospital.

“Mulanya saya cuma batuk, tiada demam atau sakit lain tetapi saya dimasukkan ke Hospital Tumpat.

“Ada seorang ustaz mengiringi saya ke hospital berkenaan. Saya berada di hospital selama lapan hari sebelum dibenarkan pulang dan disahkan negatif COVID-19.


“Ustaz yang mengiringi saya masih dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui di di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu datang ke Kelantan pada Oktober lalu untuk belajar di sebuah madrasah, selepas dibawa oleh ustaz yang juga berasal dari Thailand.

“Saya belajar solat dan mengaji. Alhamdulillah, saya sudah dapat menghafal beberapa surah selepas belajar.

“Apa yang saya pelajari di madrasah dapat saya amalkan di wad kerana saya duduk seorang diri di sebuah bilik. Setiap hari saya diberi makan tiga kali sehari,” katanya.

Ibu remaja itu meninggal dunia tiga tahun lalu manakala bapanya setahun kemudian.

Mohd Alham kini tinggal bersama pengusaha madrasah buat sementara waktu memandangkan tenaga pengajar di madrasah berkenaan masih dirawat.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2wNIdGS
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2RHMuTr
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment