Tuesday 20 June 2017

Rintihan Abang Posmen Tak Dapat Bonus. Ini Jawapan Dari Pos Malaysia..


Segalanya demi amanah dan tanggungjawab – demikian mesej yang cuba disampaikan menerusi iklan hari raya Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang dimuat naik di laman Facebook rasmi syarikat pembekal perkhidmatan itu pada 6 Jun lalu.

Segak dalam baju seragam merah putih, kesungguhan abang posmen bernama Fattah, untuk menghantar ‘surat istimewa’ walaupun alamat yang ditulis pada sampul tidak lengkap, selain beliau perlu bergegas membeli tepung pelita yang dipesan ayahnya – iklan raya tersebut begitu sarat dengan pengajaran – sebagai seorang pekerja yang menjalankan amanah yang diberikan dan sebagai anak yang mahu berbakti kepada keluarga dan bapa.

Di sebalik tumpuan masyarakat terarah kepada video raya itu, di laman sosial sejak beberapa hari lalu pula tular mengenai luahan hati seorang kakitangan Pos Malaysia, yang sedih kerana tidak layak menerima bonus.

Status ditulis pengguna Facebook bernama Tom Yana pada 15 Jun lalu, yang turut memuat naik surat penilaian prestasi dan bonus kewangan ditujukan khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Menerusi status tersebut, Tom Yana memohon supaya majikannya bertimbang rasa terhadap hal kebajikan pekerja bawahan yang bergaji rendah dan perlu menanggung keluarga.

Tom Yana dilihat meluahkan rasa kesal selepas dia gagal mendapat bonus, tambahan pula ketika menjelang sambutan hari raya kerana penilaian prestasi kerjanya yang tidak memuaskan dan dikategorikan sebagai ‘lemah’.

“Saya sebagai pekerja bawahan kurier Poslaju (gred) NP1 status ini bukan untuk burukkan syarikat tetapi harus diingat kami pekerja bawahan bermain dengan hujan panas, bermandi peluh, berlapar dahaga di bawah matahari terik sepanjang hari keluar seawal jam 4 pagi (dan) masuk kerja balik selewat jam 9 malam, kerja penat lelah semput sampai sakit-sakit masuk keluar hospital… (Hari) Sabtu (dan) kadang-kadang Ahad kami korbankan masa dengan keluarga demi tanggungjawab tapi ini hasilnya pihak atasan bagi kami.

“RM0 bonus saya dapat tahun ini dengan markah prestasi 44.9, sebelum ini sudah 4 tahun merasa prestasi tahap 2 tapi tak mengapa ada juga hasilnya walaupun sedikit,” keluhnya dalam entri tersebut.

Mengakui bahawa dia ada melawan ketua dan mengambil cuti sakit, Tom Yana mempersoalkan mengenai ‘habuan’ yang diterimanya selepas sepanjang tahun menjalankan tugas.

“Kami ada anak bini juga untuk diberi makan (dan) diberi pakai lagi-lagi untuk hari raya akan tiba ini.

“Saya di luar pejabat cuba buat kerja sehabis mungkin kadang-kadang sampai malam sebab saya fikir memang tanggungjawab saya seorang kurier.

“Tolong beri sikit timbang rasa dengan gaji kami yang kecil (dan) tidak seberapa ini, (perlu) bayar rumah, kereta, bil-bil, (perbelanjaan) pakai, makan dan lain-lain,” katanya.

“Tak pernah saya menangis bila lihat surat ini, ini kali pertama saya menangis disebabkan mengenangkan anak (dan) isteri untuk dibeli segalanya raya ini,” tambah Tom Yana.

Rintihan Tom Yana itu mendapat perhatian ramai netizen yang meluahkan rasa simpati di atas nasibnya, selain berharap agar dia bersabar.

Malah, ada juga segelintir netizen yang menawarkan pekerjaan kepada Tom Yana sekiranya dia tidak mahu lagi berkhidmat di Pos Malaysia.


Mengulas mengenai perkara itu, Pos Malaysia dalam satu kenyataan di laman Facebook menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengamalkan polisi terbuka, ketelusan dan integriti dalam menilai serta memberi ganjaran kepada para pekerja.

Pengakuan yang dibuat oleh pekerja tersebut (Tom Yana) yang mengatakan bahawa beliau sendiri sering melawan atau ingkar arahan ketua semasa bertugas turut dirujuk, kata Pos Malaysia.

“Kami mengambil kira rekod disiplin serta prestasi kerja yang ditunjukkan seseorang pekerja serta akan mengadakan sesi perbincangan terutama hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan para pekerja kami.

“Justeru, semua aspek berkenaan diambil kira dalam memutuskan pemberian ganjaran kepada seseorang pekerja,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, alasan yang diberikan Pos Malaysia dengan mengambil kira disiplin Tom Yana sebagai salah satu aspek untuk melayakkan dia menerima ganjaran dipertikaikan orang ramai.

“Walaupun prestasi dia kurang memuaskan, sekurang-kurangnya bonus untuk raya ni dia patut terima walaupun RM100. Dia bekerja di bawah syarikat Pos Malaysia selama tujuh tahun.

“Kalau dia teruk sangat sampai tak dapat bonus langsung, ikut logik akal dia takkan (bertahan) selama tujuh tahun. Beri nilai kemanusiaan terhadap orang bawahan yang buat kerja dalam cuaca panas terik dan hujan,” kata pengguna Facebook Hasif Mohamad.– mD


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2smdJXh
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2smgU1f
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment