Saturday, 24 June 2017

Mereka Ambil Baju, Tudung Bila Rindu Papa Dan Mama


MESKIPUN sukar untuk melalui detik-detik selepas kehilangan insan tersayang, namun emosi kedua-dua anak kecil ini nyata kian kuat.

Sungguh pun fitrah manusia, perasaan rindu pastinya datang, terselit di sebalik senyuman yang cuba diukir.

Begitulah yang dialami oleh Nur Firuza Amira, 9, dan adiknya Nur Firuza Aqila, 5.

"Bila dia rasa rindu, Amira akan ambil baju berwarna hijau papanya, begitu jua adiknya Aqila, kalau dia rindu mamanya dia akan ambil bantal dan tudung mamanya," demikian kongsi ibu saudara kepada pasangan adik-beradik ini, Yusnida hussain.

Mereka ditemui semasa program shopping raya bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Aeon Quill City Mall, baru-baru ini.

Kisah kedua-dua anak yatim piatu ini pernah menjadi tajuk muka depan akhbar tempatan dua tahun lalu.

Kemalangan membabitkan dua buah Perodua Myvi dan sebuah Pajero Sport pada awal pagi Sabtu, di Km 6.2 Lebuhraya Duke itu meragut nyawa kedua ibu bapa mereka, Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, serta apa yang lebih menyedihkan kemalangan itu turut meragut nyawa bayi pasangan itu, Nur Firuza Annisa.

Fairuz yang memandu Pajero maut di tempat kejadian manakala isteri dan anaknya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemandu kereta Perodua Myvi itu termasuk seorang wanita berumur 35 tahun cedera ringan manakala seorang lagi pemandu lelaki berumur 31 tidak mengalami kecederaan. Laman Facebook keesokannya dipenuhi spekulasi bahawa kejadian itu berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sekitar jam 1 pagi.

Malah akaun Facebook Familia Myvi Club diserang dengan kritikan daripada netizen yang berang dengan perbuatan ahli kelab tersebut.

Kini dua tahun telah berlalu. Ibu dan ayah yang pergi terus dikenang, hanya pusara tempat melepaskan kerinduan.

"Mereka akan kucup batu nisan dan membaca doa tatkala sampai sahaja ditanah perkuburan papa dan mama mereka.

"Mereka makin baik..Alhamdulillah," demikian kongsi ibu saudara kepada dua anak malang ini. - Sinar harian


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2s3Sriy
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2rOHWLY
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment