Saturday 2 May 2020

Kedah Tangguh Pelaksanaan PKPB, Tekad Pertahankan Status Kedah Sebagai Zon Hijau


ALOR SETAR: Kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas COVID-19) pada Selasa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kerajaan negeri akan memperhalusi syarat dan garis panduan PKPB yang diumumkan Kerajaan Persekutuan semalam.

Katanya, pelaksanaan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteliti bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri ini.

"Kerajaan negeri bertekad untuk mempertahankan status Kedah sebagai zon hijau setelah tiada lagi kes aktif COVID-19 dikesan di semua daerah.


"Oleh yang demikian, pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan sehingga keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas COVID-19) pada 5 Mei ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, keselamatan dan kebajikan rakyat tidak akan dikompromi dan mereka diminta terus kekal di rumah serta amalkan penjarakan sosial buat sementara waktu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB mulai 4 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Muhyiddin berkata, dalam masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kawasan zon merah.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/35r9vj9
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2VTGjOu
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment