JOHOR BAHRU: Jiran India masakkan makanan setiap hari, pengurusan tokong bantu sediakan bekalan elektrik dan air.
Itu antara bantuan diterima Muhamad Farid Ibrahim bersama isteri dan dua anaknya yang mendiami sebuah pondok buruk di Jalan Lumba Kuda di sini, berikutan kesusahan hidup akibat tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Keadaan itu membuktikan hakikat betapa sebilangan besar rakyat Malaysia sebenarnya sentiasa bersedia membantu orang lain yang berada dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Menceritakan masalah dihadapinya, Muhamad Farid berkata, dia terpaksa membawa keluarganya menumpang pondok kecil yang sempit dengan keadaan dinding sudah reput itu selepas tidak mampu membayar sewa bilik RM500 sebulan.
Katanya, menyedari keadaan pondok yang usang dan daif dikelilingi semak itu, pengurusan tokong berhampiran tampil menyediakan bekalan elektrik dan air secara percuma kepada mereka.
Dia yang berasal dari Kelantan berkata, disebabkan langsung tidak mempunyai wang simpanan, dia sekeluarga termasuk anak berusia sembilan dan 16 tahun kerap kelaparan.
Mujur nasib menimpa keluarga itu mendapat simpati jiran berdekatan, D. Rajamohan yang kerap menyediakan makanan untuk mereka.
“Memang susah sangat-sangat sampai tidak tahu hendak minta tolong siapa. Satu bulan kami makan di rumah Uncle Babu (Rajamohan), isterinya tolong masakkan tiga kali sehari.
“Selepas makan, kami mahu balik, Uncle Babu kerap kata tidak perlu balik ke pondok kerana anak tidak selesa, tetapi saya malu untuk tinggal di rumahnya.
“Walaupun dia bangsa lain, saya lain, Uncle Babu tidak kisah dan tetap tolong... dia kata tolong orang paling penting. Saya tak kisah untuk petik pucuk ubi dan korek ubi untuk direbus, namun Uncle Babu tetap beri 10 kilogram beras dan lain-lain," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik.
Dia sebelum ini mencuba pelbagai usaha untuk mencari wang termasuk mencagarkan telefon bimbitnya.
Sementara itu, isterinya, Siti Zaleha Ismail turut menyatakan kebimbangan dengan keadaan kawasan pondok itu yang semak dan mungkin mengundang haiwan berbisa, selain keselamatan anak perempuan mereka yang sedang meningkat remaja.
"Keadaan rumah macam ini, orang lalu lalang, kita ada anak dara, kalau tidak ada anak dara tidak kisah.
“Kalau ada apa terjadi, dia perempuan... itu yang saya bimbang,” ujarnya.
Zaleha turut berharap dua anaknya dapat bersekolah kerana tidak dapat mendaftarkan persekolahan mereka tahun ini disebabkan kekangan kewangan.
Masalah mereka turut mendapat perhatian kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang menyalurkan bantuan dengan segera.
Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khairul Nizam Mat Said berkata, pihaknya dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan telah mendapatkan satu unit rumah pangsa di Taman Cendana, Pasir Gudang untuk keluarga itu.
"MAINJ akan membantu mendapatkan rumah di Taman Cendana itu dan urusan sewa selama dua tahun serta deposit akan diuruskan oleh kami serta SUK Perumahan.
"Kita akan pastikan keluarga ini mendapat bantuan sewajarnya dan hidup dalam keadaan selesa," katanya yang turut menyerahkan bantuan segera RM500.
Sebelum ini, Muhamad Farid telah ditawarkan pekerjaan oleh Econsave sekiranya dia mendapat kediaman berdekatan dengan salah satu cawangan pasar raya terbabit.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media https://ift.tt/3dlx5R7
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2L0DWDt
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment