Friday 28 April 2017

Tempurung Kepala Retak, Sebahagian Otak Rosak Selepas Terjatuh Dari Inflatable Bouncer


GEORGE TOWN - Seorang kanak-akan berusia lima tahun kini koma selepas terjatuh dari ketinggian hampir mencecah 10 meter ketika bermain inflatable bouncer, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian di kediaman mereka di Persiaran Sungai Gelugor, Ahad lalu, Syarul Ariel Fifqi Mohd Azriq, 5, terjatuh ketika bermain inflatable bouncer yang disewa khas daripada sebuah syarikat katering. 

Ibu mangsa, Norsyaliza Yahaya, 32, berkata, dia mengadakan majlis sambutan hari jadi untuk bapanya dan menyewa peralatan permainan berkenaan untuk kanak-kanak yang dipasang di hadapan rumah mereka oleh pekerja katering pada jam 3 petang. Kemudian Syarul Azriel bersama sepupu yang lain bermain peralatan gelongsor berkenaan. 

"Bagaimanapun setengah jam selepas itu, anak saya terjatuh kerana alat permainan itu terbalik dan kepalanya terhentak di atas tar dan menyebabkan dia tidak sedarkan diri. 

"Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terus membawa anak ke hospital dan dia menjalani ujian MRI sebelum doktor mengesahkan ada keretakan serta pendarahan di kepalanya," katanya. 

Mangsa kini masih dalam keadaan koman di Unit Rawatan Rapi Hospital Lam Wah Ee.

Menurut Norsyaliza, berikutan kejadian itu, Syarul Azriel menjalani dua pembedahan di otak kiri dan kanan pada hari yang sama dan kini masih belum sedarkan diri. 

"Doktor memberitahu tempurung kepala anak saya pecah serta sebahagian daripada otaknya rosak dan saya tidak tahu apa yang bakal berlaku kepada anak saya selepas ini," katanya. 

Norsyaliza kesal dengan syarikat katering berkenaan yang dilihat cuba mengambil sikap lepas tangan kerana pekerja yang memasang peralatan berkenaan tidak melakukannya dengan betul. 

"Saya difahamkan, sepatutnya pekerja yang memasang peralatan terbabit mengikat tali untuk mengelak daripada terbalik. Namun mereka tidak melakukannya. 

"Selain itu saya turut kesal kerana pihak syarikat terbabit langsung tidak bertanya khabar dan bersemuka dengan kami untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah itu," katanya. 

Ekoran kejadian itu, Norsyaliza membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik syarikat katering berkenaan. 

Sementara itu, pihak katering telah memberi keterangan kepada pihak polis dan berserah kepada mereka untuk mengambil tindakan undang-undang kerana kejadian yang berlaku sebenarnya adalah kemalangan dan bukan kecuaian mereka. 

Pemilik syarikat katering yang tidak mahu didedahkan nama itu berkata, sepatutnya pengawasan kanak-kanak ketika bermain peralatan itu adalah tanggungjawab ibu bapa dan pihak katering tidak sepatutnya dipersalahkan. 

"Semua perjanjian itu memang sudah ada dalam syarat ditetapkan pihak syarikat dan tugas kami hanya memasang peralatan tersebut. Pekerja kami sudah melakukan apa yang termampu dan saya rasa kejadian ini berlaku mungkin disebabkan aksi kanak-kanak terbabit yang aktif ketika bermain sehingga membuatkan peralatan itu terbalik. 

"Jika terlalu ramai kanak-kanak bermain, memang mereka sukar dikawal dan disebabkan itu kami meletakkan syarat meminta penjaga mengawasi tingkah laku anak-anak mereka sendiri dan tidak menyerahkan tugas itu kepada pekerja syarikat," katanya. 

Dalam kenyataan kepada Harian Metro itu, pemiliknya turut menjelaskan pihaknya ada menghubungi keluarga mangsa untuk bertanya khabar serta mengetahui perkembangannya. Namun buat masa ini mereka enggan bertemu dengan keluarga berkenaan kerana sudah menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut. 

"Jika keluarga berkenaan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kami, itu terserah kepada mereka kerana bagi saya, pekerja mengikut prosedur ditetapkan ketika memasang peralatan terbabit," katanya lagi.

Sumber: The Reporter


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2pv6Ce5
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2prnCjA
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment