KUALA LUMPUR: Kelantan mencadangkan solat Jumaat dibenar didirikan di masjid, namun secara fardu kifayah kerana negara masih berhadapan ancaman pandemik COVID-19.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata cadangan itu dikemukakan dalam Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meneruskan syiar Islam selepas kerajaan memberikan kelonggaran kepada sektor ekonomi.
Beliau menegaskan, tugas mengembangkan syiar Islam dalam keadaan seperti sekarang dan darurat adalah tanggungjawab kerajaan.
"Kewajipan bersolat Jumaat adalah fardu ain dalam keadaan aman dan dalam keadaan darurat seperti ancaman pandemik COVID-19 ini, hidupkannya secara fardu kifayah.
"Baru-baru ini, kita tangguh solat Jumaat kerana COVID-19 agak serius, sekarang sudah reda. Jadi muzakarah (MKI) mohon kelonggaran seperti yang diperoleh untuk sektor ekonomi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau mengulas hasil Muzakarah Khas MKI semalam yang antara lain membincangkan kebenaran dan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan aktiviti agama di masjid dan surau, termasuk solat Jumaat dan Tarawih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mohamad Shukri menjelaskan, turut disyorkan adalah kebenaran untuk solat Jumaat dengan jumlah jemaah paling minimum empat orang seperti dibenarkan untuk solat-solat fardu lain di surau dan masjid.
Mengikut sesetengah pendapat, katanya, solat Jumaat boleh dilakukan dalam keadaan darurat dengan bilangan 12 orang atau minimum empat orang.
"Yang turut dicadangkan adalah solat Jumaat dengan 40 jemaah, setiap jemaah dikenal pasti (identiti) atau diberikan jemputan. Mereka yang tidak ada jemputan dilarang sama sekali hadir untuk berjemaah.
"Kita juga cadangkan SOP supaya daripada 40 jemaah itu, 15 adalah dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid dan selebihnya atas jemputan masjid, iaitu individu yang sudah dikenalpasti. Pastinya bukan warga emas atau mereka yang berisiko," katanya.
Bagi penjarakan sosial untuk jemaah di masjid, Mohamad Shukri berkata, setiap tempat solat jemaah diletakkan tanda nama, manakala bagi khutbah Jumaat dicadangkan masanya ditetapkan dua atau tiga minit, sekadar bagi memenuhi rukun solat Jumaat.
Beliau menegaskan, tugas mengembangkan syiar Islam dalam keadaan seperti sekarang dan darurat adalah tanggungjawab kerajaan.
"Kewajipan bersolat Jumaat adalah fardu ain dan dalam keadaan darurat, hidupkannya secara fardu kifayah," katanya.
Ditanya sama ada Kelantan akan melaksanakan cadangan itu dalam waktu terdekat, beliau berkata, perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan untuk mendapatkan perkenan.
"Pihak jawatankuasa agama negeri akan membincangkan perkara ini sebelum dipersembahkan untuk diperkenan Tuanku Sultan Kelantan," katanya
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman pula berpendapat, semua pihak perlu mengambil maklum nasihat dan kebimbangan pelbagai pihak sebelum dapat melaksanakan solat Jumaat di masjid dan surau.
Katanya, ada dinasihatkan supaya solat Jumaat sebaik-baiknya dilaksanakan selepas 30 Mei ini kerana kebimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penularan semula wabak.
"Bagi Pahang, semua itu akan dibincang dengan jawatankuasa agama dan bencana negeri. Selepas ada keputusan, kita akan persembahkan kepada Sultan untuk diperkenankan," katanya.
Mengenai cadangan minimum empat orang dibenarkan bersolat Jumaat di masjid, katanya, Malaysia mengikut Mazhab Imam Shafie yang menetapkan minimum 40 jemaah untuk solat Jumaat.
"Sebaik-baiknya dikekalkan dengan 40 jemaah jika mahu syiar Islam itu dikembalikan," katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/3ckhgtS
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2SOm9Ua
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment