Saturday, 2 May 2020

Agrobank Umum Tiada Caj Keuntungan Tambahan Untuk Moratorium 6 Bulan


Agrobank hari ini mengumumkan bahawa ia tidak akan mengenakan caj keuntungan tambahan ke atas pembiayaan untuk semua pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak dalam tempoh moratorium automatik enam bulan.

Ini susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 April lepas, iaitu pembiayaan Islam dengan kadar tetap berkemungkinan dikenakan caj keuntungan tambahan selepas tempoh moratorium selama enam bulan yang berkuatkuasa 1 April hingga 30 Sept, 2020.

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Khadijah Iskandar berkata Agrobank komited untuk meringankan beban pelanggannya dalam masa sukar ini.

“Oleh itu, bagi pelanggan pembiayaan berkadar tetap Agrobank terutama pelanggan pembiayaan mikro, tidak akan ada sebarang perubahan dalam jumlah tertunggak dan keuntungan semasa yang perlu ditanggung oleh pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelanggan hanya perlu membayar jumlah pembayaran bulanan yang sama mulai Oktober 2020 dan seterusnya, namun tempoh pembiayaan akan dipanjangkan sehingga enam bulan lagi daripada tempoh pembiayaan asal.


Lanjutan itu bertujuan untuk menampung tempoh penangguhan enam bulan sepanjang moratorium automatik, katanya.

Agrobank berharap pengumuman ini dapat memberi lebih kelegaan kepada pelanggannya dan sekali gus membantu mereka menghadapi cabaran lain yang mungkin sedang dialami.

Khadijah berkata pandemik COVID-19 adalah satu keadaan yang tidak dijangkakan dan telah memberi kesan kepada perniagaan termasuk industri pertanian terutama bagi perniagaan kecil dan mikro.

“Justeru, langkah yang diambil ini akan memberi banyak kelebihan kepada pelanggan pembiayaan mikro kami. Agrobank komited untuk terus menyokong pelanggan kami dalam memperkukuh perniagaan mereka terutamanya pada masa sukar ini,” katanya.

Agrobank turut menekankan penangguhan pembayaran masih secara automatik untuk pelanggannya dan tidak ada sebarang langkah tambahan yang perlu dilakukan untuk membolehkan pelanggan menikmati kemudahan moratorium automatik tersebut.

Agrobank berkata bagaimanapun, bagi pelanggan yang tidak mahu mengambil moratorium ini, mereka masih boleh memilih untuk berbuat demikian pada masa ini dengan mengisi borang di https://ift.tt/35n0hV9 dan meneruskan pembayaran berjadual mereka berdasarkan syarat perjanjian yang ada.

Dalam tempoh sukar ini, Agrobank terus peka dan mengambil berat mengenai keadaan pelanggannya.

Bagi pelanggan yang terjejas ekoran wabak COVID19, Agrobank menyediakan sesi bimbingan dan kaunseling untuk perniagaan mereka.

Bank itu berkata pelanggan boleh menghubungi mohdnazry@agrobank.com.my dan hasanul.israq@agrobank.com.my untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut. - Bernama


from Sehinggit Media https://ift.tt/2WiCMbD
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2WmUACf
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment