Tuesday, 27 March 2018

Sahabat, Masaku Kian Tiba - Bob Lokman


“SELERA makanan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu... kau fahamlah. Cuma masih ada rasa untuk mencari peluang terbaik seterusnya.”

Demikian luahan pelakon dan penulis lirik Bob Lokman yang berkongsi tahap kesihatan terkini dirinya yang dilihat semakin menurun di akaun rasmi Facebook miliknya, semalam.

Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, berkata dia menyedari kegembiraan yang dilaluinya sebelum ini sudah tidak seperti dahulu.

“Assalamualaikum Sahabat. Aku jumpa doktor lagi hari ini (semalam), rutin seorang tua. Selepas segala kegembiraan dan kesedapan aku lalui, ‘standard’ sudah berubah.

“Sahabat, hari ini kau semua datang kembali dalam realiti, kenangan dan aku mula mengerti bahawa hubungan kita tidak hanya sampai di sini, cuma mungkin aku yang akan mendahului dengan faktor yang aku miliki,” tulisnya.

Menurut Bob, dia ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini selain berpesan kepada pengikutnya untuk mempertahankan agama Islam.

“Sahabat, terima kasih atas segala bantu dan aku membalas dengan mohon hembuskan aku ke syurga dengan doamu jika namaku gugur dahulu di Lauhul Mahfuz.

“Dan aku berpesan dalam kelemahan... pertahankanlah Islam... kerana itulah benteng terakhir yang aku perjuangkan,” katanya.

Sebelum ini, Bob ditahan di UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada awal Januari lalu.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2umS4RY
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Gegu1m
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment