Thursday 19 March 2020

Tak Tolak Kemungkinan Kerah Tentera Sekiranya Rakyat Masih Ingkar – Menteri Pertahanan


PUTRAJAYA, 19 Mac  -- Anggota tentera mungkin akan dikerahkan sekiranya tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 kekal berada di tahap rendah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini antara cadangan diketengahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai perintah berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan yakin polis masih mampu membuat kawalan.

“Kita berbincang kemungkinan besar jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya… kemungkinan tentera… kemungkinan akan digunakan.

“Jadi sebelum tentera digunakan saya percaya mungkin tak perlu, tetapi jika tak ada pilihan pematuhan masih kekal setakat 60 peratus dan 70 peratus, saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan.


"Tetapi pihak berkuasa sahaja tak penting tak mustahak...yang mustahak kita sendiri secara kendiri untuk mengawal dan mematuhi apa sahaja dikeluarkan kerajaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai perintah berkenaan di sini, hari ini.

Perintah yang berkuat kuasa selama 14 hari mulai semalam antara lain melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara, selain penutupan semua rumah ibadat dan premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Kerajaan turut menasihatkan orang ramai untuk tinggal di rumah masing-masing dan mengehadkan pergerakan luar rumah sepanjang penguatkuasaan perintah berkenaan.

Sumber: BERNAMA


from Sehinggit Media https://ift.tt/2Qsfspw
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2UimKO3
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment