Thursday 19 March 2020

Masih Ada Pengunjung Yang Degil & Ambil Angin Di Pantai


KUALA TERENGGANU - Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam, rondaan keselamatan di kawasan pantai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu petang semalam mendapati masih terdapat segelintir orang awam yang mengambil angin di kawasan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, situasi itu menimbulkan kegusaran pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula semalam (18 Mac) hingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

"Pada awalnya anggota kita melakukan rondaan bertujuan memastikan keselamatan di kawasan itu, namun kita agak terkejut kerana masih terdapat orang awam yang mengambil angin di kawasan itu bersama keluarga.

"Anggota kita mengambil langkah menasihati individu terbabit supaya beredar dari kawasan itu dan terus pulang ke rumah masing-masing," katanya.


Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, operasi hotel dan tempat peranginan di seluruh negeri berkenaan ditutup selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, tempoh kawalan pergerakan itu bukan tempoh untuk bercuti atau bersantai di kawasan peranginan dan orang ramai diminta tidak memandang remeh terhadap perintah tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian pada hari kedua perintah kawalan pergerakan hari ini di lokasi tumpuan ramai di Pantai Batu Buruk mendapati tiada pengunjung yang bersantai di kawasan pantai, cuma terdapat beberapa kenderaan diparkir di kawasan itu.

Suasana di kawasan tersebut juga lengang malah deretan gerai makan termasuk penjaja jalanan yang biasanya menjalankan aktiviti perniagaan pada hari biasa juga tidak beroperasi.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/2U1NBi9
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3afrPNy
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment