Sunday, 2 February 2020

Dulu Gaji 4ribu - 5ribu. Tiba-tiba Allah Uji Sampai Aku Buat Kerja Ni

Gambar Sekadar Hiasan

Pernah hidup susah? Ramai di antara kita yang pernah hidup susah dan pastinya faham dengan situasi apabila ahli keluarga, saudara mara atau kenalan dilanda kesusahan. Bukan dipinta tetapi itulah takdir perjalanan hidup masing-masing. Jadi, kita faham akan situasi mereka, bantulah mereka dengan apa cara sekalipun. 

Dalam masa yang sama, kita nasihatkan mereka mengatur langkah yang seterusnya dengan baik agar tidak kecundang lagi, malah mendoakan mereka berjaya dan dimurahkan rezeki. Hidup ini tidak boleh sentiasa bergantung kepada orang, kita harus berusaha untuk mengubah hidup susah ke hidup yang senang. 

Semoga kisah yang dikongsikan Mohd Firdaus Mat Saad menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua.

"Hidup tak selalunya indah"

INI sahabat saya, yang dulu bekerja sebagai seorang salesman di sebuah syarikat. Jualan yang dia hasilkan ratus ribu setiap bulan, bab sales memang bagus, cuma dia ada satu masalah iaitu terkena tipu dengan customer. 

Customer tipu, buat hutang sikit-sikit. Kemudian bila dah mencecah ratus ribu, customer pun blah. Dia dan manager dia, dua-dua 'dibuang' kerja di atas kecuaian ini. Ini cerita tiga tahun lepas. 

Kemudian dia cuba buat perniagaan, tetapi masalah yang sama berulang di mana dia kena tipu lagi dan kali ini dengan customer lain pula. Customer ambil barang tetapi tidak bayar. Akhirnya, terpaksa bungkus perniagaan. 


Selepas itu, dia cuba bertahan hidup dengan melakukan perniagaan kecil-kecilan, tetapi masih tak boleh survive. Sepanjang tempoh ini, banyak kali juga dia mengalami kesempitan wang. 

Apabila dia berjumpa dengan saya, saya memang tak bagi pinjam duit sebab saya tahu kalau pinjam pun, bukan dia mampu nak bayar nanti. Jadi saya bagi zakat sahaja pada dia untuk dia belanja makan anak-anak dia seramai empat orang. 

Baru-baru ini dia datang ke rumah saya, minta kerja. Saya kata, kerja yang saya ada di Changlun. Jauh pula katanya. Nak uruskan anaknya susah, isteri suri rumah tak bekerja. Jadi memang bergantung harap dengan pendapatan dia sajalah. 

Bila saya jumpa, saya berilah apa yang saya boleh berikan. Kasihan, kasihan tengok kawan yang sama-sama dengan kita dulu, satu ketika dulu bergaji RM4,000-RM5,000 sebulan tiba-tiba Allah uji seperti ini. 

Semalam dia datang berjumpa dengan saya lagi. Dengan nada suara yang rendah dia berkata, "Sekarang aku dah dapat kerja, kerja dengan seorang kontraktor ini. Kerja mencuci longkang di kawasan rumah kita ini. Gaji RM800 sebulan, sebulan kerja 26 hari."

"What?!!" saya terkejut. 

"Kenapa sampai jadi begini?" soal saya. 

"Firdaus, ini bukan soal malu. Ini bukan soal maruah, ini bukan soal kotor, ini soal hidup. Anak bini aku dah tak ada makan, aku terpaksa kerja. Kerja kotor pun aku kena buat. Mungkin Allah nak uji aku sekarang," katanya. 

"Hang nampak aku susah. Hang tau tak, masa aku kerja cuci longkang, ada lapan orang geng, cerita depa.. aiyo, lagi aku nak menangis. Bila tengok depa lagi susah. Aku tak boleh nak cerita kesusahan aku sebab depa lagi susah. Kalau tak susah, orang tak mau kerja cuci longkang ni Firdaus," tambahnya lagi. 

Wow! Dalam hati aku terasa seperti mahu menangis. 

"Firdaus, boleh bagi aku kerja buat apa-apa, mesin rumput ke, buat apa ke, asal ada kerjalah. Aku segan nak minta duit kat hang. Aku nak minta kerja apa hang boleh tolong aku," katanya. 

"Okaylah, mesin rumput rumah aku," saya kata. 

Padahal rumput baru saja dimesin dua minggu lalu. Tak apalah, tolong sajalah. 

"Boleh tak hang tolong advance duit kat aku dulu? Aku nak beli beras dan barang dapur rumah aku ni. Duit dah tak ada," katanya. 

Nak menitik air mata saya. Saya beri duit advance dulu kepada dia. 

Dan hari ini, seorang yang dulu kawan baik saya, yang bergaji besar, yang hidupnya boleh dikatakan selesa untuk level hidup di kampung, hari ini dia datang mesin rumput di rumah saya. Jam berapa dia datang? Jam 11 pagi, ketika matahari dah panas terik. Tetapi dia teku memulakan kerja. 

"Kenapa datang lambat?" soal saya. 

"Pagi tadi hantar barang kat customer sikit. Hari ini tak kerja, boss bagi cuti," katanya.

Saya sangat bersimpati, apalah nak kita buat dengan gaji RM800 sebulan. Nauzubillah kalau Allah uji begini, boleh jam oo. Tak tahu iman jadi macam mana, tetapi sahabat saya ini tetap bersabar.

"Bukan aku tak cuba mencari kerja yang bagus sikit tetapi aku tak jumpa kerja yang boleh beri gaji lebih sikit. Dah yang ini aku jumpa, aku kerjalah dulu sebulan dua ini," katanya.

Jika ada di antara anda yang terbaca kisah ini, yang terasa mahu membantu sahabat saya ini dengan memberi sedikit sumbangan atau zakat, bolehlah menghubungi saya. Nanti saya berikan nombor akaun bank dia. 

Mungkin kita boleh sumbang seringgit dua, inshaAllah sumbangan kita dapat meringankan beban dia. Mungkin RM10 kecil bagi kita tetpai untuk waktu ini jumlah itu tersangat besar nilainya buat dia. Jadi kita bantulah dia, mudah-mudahan Allah tidak menguji kita seperti Allah menguji dia. 

Dalam berniaga, Allah pernah menguji saya juga. Saya pernah ada hanya RM50 sahaja duit dalam poket. Saya menangis pada waktu itu. Sebab saya pernah susah, saya tahu apa yang dia rasa pada waktu ini. 

Pengajaran:

Ketika kita senang, berhati-hatilah dengan kewangan kita. Belanja sebaik mungkin, jangan terlalu boros. Ini pesanan untuk diri saya sebab saya pun banyak juga berbelanja.

Bila berniaga, elakkan beri banyak sangat hutang pada pelanggan. Amalkan bayaran tunai, biar untung sikit tetapi tunai. 

Bila ada kawan susah, kita bantu. Masa bantu itu kita doakan agar Allah tidak menguji kita seperti itu.

Doakan sahabat kita ini, semoga Allah memberi kelapangan kepadanya. 

Mohon kongsikan kisah ini, semoga lebih ramai yang dapat pengajarannya. 



from Sehinggit Media News https://ift.tt/2RSR7KE
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2S9U0WF
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment