Saturday, 7 April 2018

"Semoga Kasih Sayang Antara Anak-anak Kekal Ke Akhir Hayat". Nota Terakhir Dari Ibu Sebelum 'Pergi'



PETALING JAYA: "Semoga kasih sayang antara anak-anak kekal ke akhir hayat," itu status terakhir yang dimuat naik Mazliana Rizal, 34, di laman Facebook miliknya sehari sebelum kemalangan yang meragut nyawa dia dan suami di Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dekat Kampung Datuk Harun, di sini, malam tadi.

Menurut laporan berita harian, Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu menyebabkan tiga anak Mazliana dan pasangannya, Umar Hanafi Sapit Noor, 34, masing-masing berusia setahun, lima dan enam tahun yatim piatu dalam sekelip mata.

Khairul Anuar Md Yunus, 37, abang ipar kepada Mazliana berkata, status berkenaan seolah memberi gambaran supaya anak Mazliana menjaga hubungan silaturahim antara satu sama lain.

"Mungkin status bersama beberapa gambar dia (Mazliana) dengan anaknya itu berlaku secara kebetulan. Namun, ia seolah memberi pesanan kepada anak-anak arwah agar sentiasa berkasih sayang.

"Saya tidak perasaan mengenai status itu sebelum hanya menyedarinya pagi tadi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.

Umar Hanafi bersama isterinya menunggang motosikal dari Kuala Lumpur menghala ke Subang, terbabas menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan meninggal dunia di lokasi.

Jenazah pasangan berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cerakah, Seksyen U15, Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at, berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa terbabas sendiri sebelum terjatuh.

"Sebaik tiba di kilometer 18.3 Lebuhraya NPE, motosikal yang ditunggang seorang lelaki hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan. Penunggang dan pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Keadaan cuaca ketika kemalangan adalah baik dan terdapat lampu jalan di kawasan kemalangan. Tiada rakaman CCTV di sekitar kawasan kejadian selain pihak kami juga sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua jenazah dibawa ke PPUM untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987.


from Sehinggit Media https://ift.tt/2qf0iX3
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2GF4tGB
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment