Majikan tidak diwajibkan untuk memberi cuti khas sehari kepada pekerja masing-masing untuk mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang ditetapkan pada 9 Mei ini.
Walau bagaimanapu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan perlu memberi waktu yang munasabah kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat keluar mengundi pada hari Rabu itu.
"Tempoh masa bersesuaian dan munasabah antara satu hingga dua jam boleh diberikan. Contohnya, masuk pejabat lewat sedikit untuk mengundi pada sebelah pagi, menggunakan waktu rehat atau pulang awal dari pejabat sebelum pusat pengundian ditutup.
"Majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi, boleh didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun seperti diperuntukkan di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
"Selain itu, majikan juga tidak boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan pemilih, mengenakan atau menuntut daripadanya apa-apa penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh munasabah yang diberikan berkenaan," katanya yang dipetik akhbar NSTP.
Selain itu, Shamsuddin berkata, majikan mempunyai tanggungjawab untuk tidak menghalang pekerja mereka sebagai pengundi berdaftar untuk mengundi pada hari berkenaan.
Mengenai masalah lokasi pengundian jauh di negeri asal, beliau berkata, ia bukanlah bebanan di pihak majikan kerana sebagai pengundi yang bertanggungjawab, pekerja seharusnya mengemas kini lokasi tempat pengundian berdasarkan alamat tempat tinggal terkini.
Katanya, masalah biasanya timbul apabila pengundi mengekalkan alamat kampung halaman masing-masing meskipun sudah berpuluh-puluh tahun menetap di tempat lain.
"Dalam hal ini, pekerja perlu sedar jika dua jam pelepasan diberikan, syarikat sudah pun kehilangan kira-kira 25 peratus produktiviti kerja.
"Namun, jika majikan dapat memberi kelonggaran, pekerja boleh mengambil cuti tahunan masing-masing untuk membolehkan mereka mengundi dengan selesa tanpa perlu mengejar masa kembali ke pejabat," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh mengundi pada hari Rabu, 9 Mei manakala hari penamaan calon pula pada Sabtu, 28 April.
Sebab tersendiri
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem meminta majikan agar membenarkan para pekerja menunaikan hak sebagai warganegara untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini yang jatuh pada Rabu.
"Majikan mesti melepaskan pekerja (keluar mengundi). Mereka mesti diberi peluang," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Ini selaras dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengkehendaki majikan memberi suatu tempoh kepada pekerja untuk keluar mengundi.
Di bawah Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga, majikan yang menghalang pekerja untuk keluar mengundi pada hari berkenaan boleh didenda lebih RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.
Mengulas tarikh pengundian itu, Riot berkata SPR sudah tentu mempunyai sebab tersendiri memilih tarikh berkenaan.
Sementara itu Naib Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) A Ramadass berpendapat hari pengundian pada Rabu tidak mendatangkan masalah kepada majikan, mahupun menjejaskan operasi syarikat.
Katanya sebagai menghormati hak rakyat Malaysia, majikan akan memberi waktu pelepasan kepada pekerja untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Ia memang sudah diterima sebagai satu amalan dan ia pernah juga berlaku sebelum ini (mengundi pada hari bekerja). Lagipun ia hanya mengambil beberapa jam sahaja untuk pergi mengundi dan kemudian balik ke tempat kerja semula,” kata beliau.
Bagaimanapun bagi mereka yang mengundi di negeri lain dari negeri mereka bekerja, Ramadass berkata mereka seharusnya meminta cuti untuk pulang ke kawasan tempat mengundi masing-masing.
Sumber: https://ift.tt/15ey8x6
from Sehinggit Media https://ift.tt/2v7O2gq
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2v3xWED
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment