'DRAMA' air mata di hari persandingan melibatkan seorang pengantin lelaki berjaya menjentik hati netizen setelah rakaman video dirinya menangis tular di laman Facebook.
Muhammad Rizuan Asri, 24, yang segak berpakaian pengantin nyata tidak dapat menahan sebak dan tidak henti-henti mengesat air matanya yang jatuh berlinangan sewaktu berhadapan dengan ibu bapanya pada majlis perkahwinannya, Ahad.
Video berdurasi 7 minit 23 saat itu dimuat naik ke laman Facebook deejay yang mengendalikan majlis persandingan tersebut, Wan Joe dan ia serta merta tular.
Muhammad Rizuan ketika dihubungi mStar Online berkata dia berasa sebak dan menangis pada hari perkahwinannya kerana memikirkan tanggungjawabnya sebagai anak sulung semakin besar apabila dia mendirikan rumah tangga.
"Sebelum ini tanggungjawab saya hanya kepada ibu bapa dan adik-adik, sekarang tambah pula tanggungjawab kepada isteri.
"Saya juga rasa sebak nak lepaskan keluarga saya, lepas ni saya akan tinggal berasingan untuk melayari kehidupan baharu," kata Muhammad Rizuan.
Dalam video itu, dia yang berada di sisi isterinya, Kamaliah Mazlan, 24, mengambil kesempatan menyuap makanan ke mulut ibu bapanya sebagai simbolik membalas jasa dan pengorbanan mereka setelah diminta berbuat demikian oleh deejay bertugas.
Ketika memeluk dan mencium ibu bapanya, dia juga dilihat seolah-olah tidak mahu melepaskan mereka. Malah Muhammad Rizuan juga dapat dilihat melutut di kaki ibunya.
Menurut Muhammad Rizuan, dia pada waktu itu sedaya upaya menahan diri daripada mengalirkan air mata, namun gagal mengawal perasaan sehingga menangis teresak-esak.
"Memang saya manja dengan ibu bapa saya, kami memang rapat. Malah mak saya selalu suapkan saya makanan.
"Tapi saya bukannya jenis suka menangis, cuma hari tu memang tak boleh tahan. Isteri saya pun terkejut tengok saya menangis," katanya.
Suasana majlis itu bertambah pilu dengan alunan muzik menyentuh perasaan yang dimainkan menerusi pembesar suara sewaktu 'adegan' itu berlangsung, ditambah pula dengan kata-kata nasihat yang diberikan oleh deejay yang mengawal suasana majlis.
Video berkenaan sehingga kini sudah ditonton lebih 73,000 kali dan dikongsi lebih 2,000 pengguna Facebook.
Rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak dan terharu setelah menyaksikan video itu.
"Untungnya dapat suami macam ni. Lembut hati sayang mak ayahnya," tulis Arjumand Hisam.
"Alhamdulillah Abang DJ, sentiasa mengingatkan pengantin supaya menjaga hati orang tua walaupun telah berumahtangga," tulis Zubaidah Buhari.
"Terbaiklah, dengan aku sekali menangis tersedu. Meresap dalam hati," ujar seorang lagi pengguna Facebook.
Majlis persandingan di kediaman pengantin lelaki itu berlangsung di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka.
Muhammad Rizuan dan Kamaliah berkenalan sejak 10 tahun lalu sebelum diijabkabulkan pada Jumaat lalu, disusuli majlis bertandang penuh emosi di rumah pengantin lelaki pada Ahad.
Sumber: Mstar Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2GQNyRA
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Huh50A
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment