Wednesday 4 April 2018

Kisah Rendang Ayam Zaleha Reda Ketegangan Hadapi PRU-14


PUTRAJAYA - Kisah seorang peserta pertandingan MasterChef UK, Zaleha Kadir Olpin yang tersingkir daripada rancangan itu gara-gara rendang ayamnya tidak rangup dan garing ternyata telah meredakan suasana tegang ketika negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, semua rakyat Malaysia telah bersatu hati untuk mempertahankan makanan tradisi masyarakat Melayu itu menerusi medium media sosial dan memberi penjelasan kepada dunia tentang budaya tempatan.

“Dalam suasana panas menuju pilihan raya, kita mudah terlupa tentang titik persamaan yang menyatukan semua rakyat Malaysia. Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa namun adakalanya sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati dalam sesuatu perkara. 

“Kita biasa mendengar bahawa sukan dan makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia. Ternyata kata-kata ini terbukti minggu ini apabila Zaleha dan rendang ayamnya secara tidak langsung telah menjadi penyatu rakyat Malaysia, tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang. 

“Terasa geli hati apabila orang asing cuba untuk mengajar rakyat Malaysia tentang makanan tradisional mereka sendiri. Terdetik dalam hati, tertanya sekiranya ini merupakan satu bentuk whitesplaining atau penjelasan pihak ketiga mengenai budaya orang lain yang biasa dibaca di media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam episod yang disiarkan saluran BBC pada 25 Mac itu, Zaleha memilih juadah nasi lemak bersama rendang ayam untuk dimasak, yang disifatkan sebagai juadah yang sangat istimewa namun dia tersingkir apabila ayam rendang yang dimasaknya dinilai sebagai tidak rangup oleh juri, Gregg Wallace

Zaleha yang berusia 48 tahun berasal dari Kuantan, Pahang kini menetap di Bristol, UK bersama suami dan dua anak perempuan mereka.

Dalam pada itu, Anifah berharap dapat berjumpa dengan Zaleha dan ingin mengucapkan syabas kerana telah berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan apa yang terjadi itu tidak dapat dilakukan oleh ahli politik di negara ini.

Sumber: Kosmo


from Sehinggit Media https://ift.tt/2JiaYNf
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2uKkOEx
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment