"SAYA memilih kerjaya penghantar makanan kerana minat dengan motosikal sejak sekolah dan mempunyai lesen motosikal pada usia 17 tahun," kata Farah Nur Syifa Abdullah, yang mesra dipanggil Fafa.
Fafa, 20, berkata, walaupun kerjaya itu didominasi kaum lelaki, ia tidak mematahkan semangatnya mencari rezeki sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai penghantar makanan.
Katanya, ramai pelanggan terkejut dan janggal ketika dia menghantar makanan kerana kebiasaannya penghantar makanan adalah lelaki.
"Walaupun saya perempuan, layanan dan cara kerja tetap sama seperti penghantar makanan lain. Saya perlu menghantar makanan kepada pelanggan dengan cepat, tidak kira cuaca panas terik atau hujan.
"Saya pernah dimarahi pelanggan kerana lambat menghantar makanan kerana waktu itu pesanan terlalu banyak," katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Gadis berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, sejak mempunyai lesen motosikal, dia menjadikan kenderaan dua roda itu sebagai pengangkutan utama bagi memudahkan pergerakannya.
Menurutnya, pada awalnya, ibu bapanya bimbang dengan keselamatannya sebagai penghantar makanan, namun dia membuktikan boleh menjaga diri dan sentiasa mengambil langkah keselamatan semasa menunggang.
"Saya sering mengikuti konvoi kapcai bersama kumpulan LC Super Spirit dan kali terakhir mengikuti kembara itu pada 5 Januari lalu.
"Saya nekad menjadi penghantar makanan selepas tamat pengajian di GiatMara Taiping dalam Kursus Solekan dan Terapi Kecantikan kerana mengetahui peluang kerja terhad.
"Selepas tempoh praktikal tamat di salon dan spa kecantikan pada Mac lalu, saya memilih menjadi penghantar makanan sepenuh masa," katanya.
Menurutnya, pendapatan menerusi kerjaya itu agak lumayan berikutan permintaan tinggi sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, pada zaman ini, remaja tidak boleh memilih pekerjaan dan sebagai kaum wanita perlu berani meneroka pelbagai bidang.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media https://ift.tt/2MzZ3NP
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2XRdJNK
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment