Wednesday 10 June 2020

Tolak Pelarian Rohingya, NGO Gesa Kerajaan Pertimbangkan Keputusan


Beberapa NGO menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan keputusan untuk tidak lagi menerima pelarian Rohingya ke negara ini.

NGO hak migran Tenaganita berkata sangat penting bagi Malaysia untuk membincangkan perkara tersebut dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan penyelesaian sementara.

Pengarah eksekutifnya, Glorene A Das juga merayu supaya kerajaan tidak menghantar orang Rohingya pulang ke Myanmar atau ke kem pelarian di Bangladesh kerana pelarian tersebut akan sekali lagi terperangkap dalam modus operandi yang melibatkan pemerdagangan manusia.

“Ya, sekarang memang ada pihak yang menggesa untuk penempatan semula mereka (etnik Rohingya), tetapi dalam keadaan pandemik kini ia bakal menyukarkan proses tersebut.

"Jadi penting buat kerajaan untuk bekerjasama dengan UNHCR bagi mendapatkan penyelesaian sementara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, Glorene turut mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak mengadakan perbincangan bersama Myanmar dan mendakwa Asean telah ‘menutup mata’ atas tindakan zalim negara itu.


“Mengapa kerajaan Malaysia tidak bercakap dengan kerajaan Myanmar tentang tanggungjawab mereka terhadap orang Rohingya dan di mana Asean?

“Asean seperti tutup mata tentang isu kekejaman Myanmar terhadap Rohingya.

“[…] pada masa yang mencabar kini, kita harus tetap bersatu padu dan bantu orang Rohingya dari memusnahkan mereka melalui tindakan kita,” katanya lagi.

Pada 8 Jun lalu, sebuah bot yang membawa seramai 269 pelarian Rohingya ditahan pihak berkuasa polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba memasuki perairan Langkawi.

Pelarian terbabit terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.yang dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian Cox's Bazar di Bangladesh.

Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi. Kesemua 269 orang pelarian itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam menegaskan bahawa kerajaan tidak akan lagi menerima pelarian Rohingya yang menceroboh masuk ke negara ini, sebaliknya akan menghantar mereka pulang ke negara Bangladesh.

"Jadi di sini kerajaan menegaskan tidak lagi menerima pelarian-pelarian ini dan kami akan berbincang dengan negara terlibat untuk urusan penghantaran pulang. 

"Kerajaan lebih selesa jika negara-negara ini dapat menerima pelarian Rohingya dari Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Bangladesh pula menegaskan bahawa pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menyeru negara-negara lain turut sama menerima pelarian Rohingya dan beban itu bukan hanya perlu ditanggung Bangladesh sendirian.

"Kita mengalu-alukan negara lain mengambil mereka dan memindahkan seramai 1.1 juta Rohingya yang kini berlindung sementara di Bangladesh," kata Momen.

Bagaimanapun, ketika fasa awal perintah kawalan pergerakan, Ismail berkata polis sedang menyiasat lonjakan sentimen negatif secara tiba-tiba yang ditujukan kepada masyarakat Rohingya di Malaysia.

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/30uhviL
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2YixTjO
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment