Keputusan sama ada operasi pasar malam akan dibenarkan atau tidak akan diputuskan pada Sabtu ini bersama dengan operasi di kedai gunting rambut, salon kecantikan dan aktiviti solat berjemaah di masjid.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) sebelum kebenaran diberikan.
"SOP kedai gunting, salon kecantikan dan pasar malam, kita minta dibentangkan pada Sabtu ini.
"Begitu juga sembahyang berjemaah dengan (ada) cadangan meminta dibenarkan mengikut keluasan masjid. Seperti masjid di Putrajaya kalau buat penjarakan satu meter boleh muatkan lebih 100 orang.
"Perkara ini kita serah kepada menteri hal ehwal agama (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad) bentang pada mesyuarat untuk pandangan Kementerian Kesihatan kalau hendak dilaksanakan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata lebih banyak SOP termasuk cadangan lebih ramai jemaah solat di masjid, aktiviti keagamaan di rumah ibadat dan sebagainya akan dibentangkan pada mesyuarat khas tersebut Sabtu ini.
Malah, katanya, terdapat cadangan solat berjemaah mengikut keluasan masjid, contohnya Masjid Putrajaya yang boleh memuatkan 200 orang kalau mengikut penjarakan sosial dan bukan terhad kepada 30 orang.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata tahap pematuhan rakyat terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin meningkat susulan tiada kompaun ziarah perayaan Aidilfitri dikenakan dan tiada kertas siasatan berita palsu dilaporkan mengenai Covid-19.
Katanya setakat semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 33 individu atas kesalahan ingkar PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.
“Tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh seminggu yang lepas.
"Ini menunjukkan kesedaran masyarakat meningkat terhadap kepentingan tidak berkongsi berita palsu,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai bayaran wang caruman pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Ismail Sabri berkata selagi institusi itu masih tidak beroperasi, ibu bapa tidak perlu membayar caruman pelajar.
Sumber: Malaysiakini.com
from Sehinggit Media https://ift.tt/3eCl8Hg
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3gNXpWE
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment